IIUM Repository

Kawal pengeluaran caruman KWSP elak implikasi jangka panjang

Syed Azman, Syed Marwan Mujahid and Noordin, Nazrul Hazizi (2023) Kawal pengeluaran caruman KWSP elak implikasi jangka panjang. Berita Harian, 20 Mar 2023. p. 12.

[img] PDF - Published Version
Restricted to Registered users only

Download (304kB) | Request a copy

Abstract

Pandemik COVID-19 menatijahkan pelbagai cabaran ekonomi getir menekan hidup rakyat. Justeru, demi meringankan beban rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan membenarkan pengeluaran sebanyak empat kali caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas berjumlah melebihi RM145 bilion. Pengeluaran KWSP ini juga mengakibatkan lebih separuh daripada pencarum KWSP (6.7 juta ahli) kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Median simpanan KWSP juga berkurang lebih 50 peratus kepada RM8,100 berbanding RM16,600 sebelum pandemik COVID-19. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pencarum Bumiputera adalah golongan paling terkesan daripada tindakan ini dengan median nilai simpanan jatuh merudum lebih 70 peratus kepada RM4,900 (berbanding RM15,500 pra-pandemik). Sebagai perbandingan, simpanan pencarum kaum India pula hanya berkurang 40 peratus kepada RM14,900 daripada RM27,000, manakala simpanan pencarum kaum Cina hanya jatuh 1.0 peratus kepada RM45,200. Jika dilihat daripada perspektif lain, median simpanan KWSP golongan B40 merudum 70 peratus kepada hanya RM577 daripada RM2,434 sebelumnya. Untuk golongan M40 pula, median simpanan jatuh 34 peratus kepada RM19,926 berbanding RM30,113 sebelumnya. Namun begitu, kisahnya berbeza bagi golongan T20 yang mana median simpanan meningkat 9.0 peratus kepada RM152,964 berbanding RM140,440 sebelum ini. Kini terdapat lagi desakan daripada pelbagai pihak untuk pengeluaran seterusnya caruman KWSP. Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapatnya golongan memerlukan bantuan kewangan sara diri dan bantuan modal perniagaan pasca pandemik ini. Pelbagai pihak termasuk pakar daripada pelbagai bidang sudah mengulas isu pengeluaran KWSP sama ada dari sudut kesan jangka panjang ekonomi dan sara hidup. Meskipun begitu, bagaimana pula jika isu pengeluaran KWSP ini dikupas dari perspektif maqasid syariah? Menurut Imam Ghazali, maksud syarak untuk makhluk adalah lima perkara iaitu 'memelihara mereka berkenaan dengan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta'. Setiap satu mengandungi pemeliharaan asas yang lima ini, iaitu maslahat. Dengan luputnya satu daripadanya, maka ia membawa kepada mafsadah (kerosakan atau menimbulkan masalah). Dari sudut Islam, agama ini meletakkan taraf sangat tinggi kepada mereka yang menjaga diri, harta, keluarga dan agama. Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud; "Sesiapa terbunuh kerana melindungi hartanya, dia seorang syahid. Sesiapa terbunuh kerana melindungi keluarganya, dia seorang syahid. Sesiapa dibunuh kerana melindungi agamanya, dia seorang syahid. Sesiapa terbunuh kerana melindungi dirinya, dia seorang syahid". Dalam konteks pengeluaran KWSP, sekiranya kerajaan membenarkannya, pencarum mungkin bakal berhadapan dengan risiko kemiskinan pada jangka masa panjang akibat tiada jaring keselamatan diperlukan ketika kecemasan terutama membabitkan kesihatan dan kecelakaan. Kemiskinan juga akan menimbulkan pelbagai masalah lain termasuk menghakis kepercayaan dan pendirian agama seperti sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadis riwayat Anas bin Malik, bermaksud: "Kemiskinan itu dekat kepada kekufuran." Ini boleh terjadi jika individu terbabit menyalahkan takdir atas kemiskinan atau kesusahan dialaminya. Secara tidak langsung, ini memberi kesan kepada kepercayaan dan pegangan agama individu itu dan sekali gus bertentangan dengan prinsip 'maqasid syariah' iaitu 'hifz al-din' (melindungi agama). Selain itu, generasi terkemudian juga bakal terkesan dengan ketiadaan dana untuk pelaburan pendidikan dan perbelanjaan yang dapat meningkatkan kualiti hidup mereka pada masa hadapan. Hal ini lebih meruncing tatkala Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030 dengan lebih 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas. Hal ini juga berkait rapat dengan prinsip 'maqasid' iaitu 'hifz al-nasb' (melindungi keturunan), termasuk memastikan hak anak dan keluarga terbela tatkala ibu bapa tidak mampu lagi untuk bekerja. Tambahan lagi, tindakan membenarkan pengeluaran KWSP ini akan memberi implikasi dan beban kewangan kepada kerajaan berikutan kos kesihatan dan program sosial dijangka meningkat secara mendadak untuk menampung keperluan golongan mempunyai masalah kesihatan dan tidak mempunyai simpanan hari tua. Maka, hal ini berkait rapat pula dengan prinsip iaitu 'hifz al-mal' (melindungi harta) di bawah maqasid syariah. Bahkan, menjaga simpanan KWSP untuk kegunaan masa hadapan dapat melindungi aspek maqasid syariah dan ini satu jihad amat dituntut Islam. Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka yang memerlukan bantuan perlu diabaikan begitu sahaja. Inisiatif kerajaan menyuntik kembali RM1 bilion kepada dua juta pencarum KWSP melalui Belanjawan 2023 harus dipuji. Bantuan lain boleh digembleng institusi berkaitan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kewangan sosial Islam boleh diatur gerakkan demi menampung keperluan semasa golongan ini. Pertama, institusi kewangan sosial seperti zakat dan wakaf perlu diperkasa supaya lebih proaktif dan cekap. Pihak KWSP boleh bekerjasama dengan institusi kewangan sosial ini untuk berkongsi data dan mengenal pasti pencarum KWSP mempunyai simpanan kritikal dan memerlukan bantuan. Kedua, jangkauan dana pinjaman mikro perlu diperluas dan dipermudah. Contohnya, inisiatif i-Tekad oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama institusi kewangan untuk membantu perusahaan mikro milik B40 wajar ditambah baik supaya proses permohonan lebih mudah, efisien dan tidak membebankan. Ketiga, kerajaan dan PBT harus menggiatkan bantuan serta mempermudah urusan peniaga kecil. Contohnya, dalam urusan pelesenan, permohonan tapak perniagaan dan bantuan latihan kewangan serta progmram mentor keusahawanan. Semoga dukungan dan kerjasama utuh daripada pemegang taruh dalam menangani isu pengeluaran KWSP ini dapat mengekang kesan jangka panjang negatif kepada semua pihak terutama pencarum.

Item Type: Article (Newspaper)
Subjects: BPH Islamic Economics
H Social Sciences > HJ Public Finance
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): Institute of Islamic Banking & Finance (IIiBF)
Depositing User: Dr. Syed Marwan Mujahid Syed Azman
Date Deposited: 22 Mar 2023 14:54
Last Modified: 22 Mar 2023 14:54
URI: http://irep.iium.edu.my/id/eprint/104163

Actions (login required)

View Item View Item

Downloads

Downloads per month over past year