IIUM Repository

Mama food: produk tradisional citarasa nasional

Mohd Shariff, Ros Aniza and Abdul Rahman, Rozailin and Abu Samah, Mohd Armi and Harun Ismail, Ahmad Fahmi (2021) Mama food: produk tradisional citarasa nasional. In: Usahawan siswa: memeta haluan, melakar jaya. Penerbit UMK, Shah Alam, Malaysia, pp. 50-55. ISBN 978-967-2912-70-5

[img]
Preview
PDF - Published Version
Download (12MB) | Preview

Abstract

Pembentukan masyarakat Malaysia yang memiliki pemikiran keusahawanan merupakan antara faktor pemangkin yang berupaya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang tahun 2030, seperti yang dihasratkan oleh Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030. Peranan besar dan penting ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selaku entiti yang bertanggungjawab untuk menghasilkan bakat terutamanya dalam bidang-bidang berkemahiran tinggi. Dalam konteks sektor pengajian tinggi, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi) menekankan kepentingan untuk melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang menerusi lonjakan pertama daripada 10 lonjakan yang digariskan oleh Pelan tersebut. Selain itu, Dasar Keusahawanan IPT yang diperkenalkan sejak tahun 2010, juga meletakkan usaha untuk menganjak minda para pelajar IPT daripada hanya berfikiran untuk bekerja dengan majikan selepas menamatkan pengajian kepada graduan yang berkecimpung dalam arena keusahawanan dan menjadi pencipta pekerjaan atau ‘job creator’ dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada individu lain setelah perniagaan mereka berjaya.Namun begitu, terdapat segelintir graduan menganggap keusahawanan sebagai kerjaya pilihan terakhir mereka sedangkan sebaliknya, harus ada jalan alternatif lain yang perlu diambil, lebih-lebih lagi dalam melengkapkan diri berdepan dengan situasi semasa yang penuh cabaran, pesaing yang ramai, peluang penempatan perkerjaan yang terhad, dan isu pengangguran yang tidak berkesudahan. Bahkan, ada antara graduan terlepas pandang yang mereka sebenarnya berpotensi dan berkemahiran untuk mencipta kejayaan melalui bidang keusahawanan. Proaktif terhadap perkara ini dan dalam mendokong hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan yang unggul, KPT telah melaksanakan pelbagai inisiatif demi menggalakkan lebih ramai lagi pelajar IPT terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan semasa pengajian. Pelan Tindakan Keusahawanan yang diperkenalkan pada tahun 2013, telah melakar pencapaian yang menyaksikan peningkatan sebanyak lebih 30 peratus penyertaan pelajar dalam program dan aktiviti keusahawanan di IPT. Kejayaan ini menunjukkan komitmen tinggi KPT dalam menyediakan dasar yang berupaya mengubah minda pelajar ke arah erpemikiran keusahawanan. Di bawah Pelan Tindakan Keusahawanan ini juga, kesemua 20 buah universiti awam termasuk politeknik dan kolej komuniti telah menubuhkan Pusat Keusahawanan. Pusat ini bertanggungjawab untuk merancang, menilai dan memantau pelaksanaan program keusahawanan di institusi masing-masing. Penetapan aspek pembangunan dan pendidikan keusahawanan sebagai satu daripada bidang keutamaan dan petunjuk prestasi utama institusi merupakan manifestasi komitmen pengurusan tertinggi IPT terhadap agenda keusahawanan.Kecemerlangan pelaksanaan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT ini kemudiannya diteruskan dengan penambahbaikan strategi dan inisiatif untuk tempoh 2016 hingga 2020. Pada tahun 2020 sahaja, lebih 68,000 pelajar direkodkan telah menjalankan perniagaan. Daripada jumlah tersebut, hampir 8,000 orang pelajar meneruskan aktiviti perniagaan selepas mereka menamatkan pengajian. Ini jelas membuktikan impak positif daripada pelaksanaan pelan tindakan yang telah dilaksanakan oleh Pusat-pusat Keusahawanan di IPT khususnya dalam meningkatkan kesediaan pelajar untuk menceburi dan memilih bidang keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan. Sebagai kesinambungan, pelan tindakan bagi tempoh lima (5) tahun seterusnya (iaitu 2021 – 2025) juga telah dibangunkan. Pelan yang dilancarkan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi pada 19 Februari 2021 menggariskan tiga (3) teras, iaitu Ekosistem Keusahawanan Bersinergi; Kolaborasi Berimpak Tinggi; dan Inovasi dan Teknologi Dalam Keusahawanan. Di bawah teras-teras ini, terdapat tujuh (7) strategi dan 28 inisiatif keseluruhannya yang disenaraikan. Modus operandinya adalah untuk meningkatkan lagi penglibatan pelajar dalam bidang keusahawanan. Entrepreneurship Integrated Education yang memfokuskan kepada lima (5) strategi dan 33 inisiatif sebagai panduan utama IPT dalam membangunkan kurikulum keusahawanan. Kedua-dua naskhah strategik ini menjadi rujukan induk IPT dalam memperkukuh lagi ekosistem keusahawanan, seterusnya menjadi satu daripada pemangkin untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan. Menerusi strategi dan inisiatif pembangunan usahawan yang dilaksanakan oleh KPT dan IPT sejak lebih satu dekad yang lalu, sejumlah besar usahawan pelajar dan graduan dalam pelbagai bidang telah berjaya dilahirkan. Variasi bidang ini termasuklah makanan dan minuman; perkhidmatan; kosmetik dan kesihatan; teknologi, fotografi dan audiografi; peruncitan; serta bidang kreatif dan tekstil. Pengetahuan “tacit” yang diperoleh oleh usahawan pelajar dan graduan ini sepanjang upaya untuk mengecapi apa yang mereka ada pada hari ini merupakan aset berharga yang perlu didendang kepada khalayak, terutamanya para pelajar yang ingin berkecimpung dalam arena ini. Justeru, bagi menyebar luas kepentingan dan manfaat bidang keusahawanan dalam membantu pelajar menjana pendapatan, seterusnya menjadikan mereka sebagai pencipta pekerjaan, buku “Usahawan Siswa: Memeta Haluan, Melakar Jaya” ini diterbitkan oleh KPT dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan. Naskhah yang mengiktiraf kejayaan usahawan pelajar dan graduan ini turut meraikan semangat dan kekuatan mereka dalam menghadapi liku-liku dunia perniagaan. Karya ini mengangkat 39 kisah perjalanan perniagaan usahawan pelajar dari 19 buah IPT terpilih sehingga mereka berjaya menempa kejayaan semasa dan selepas pengajian. Naratif eksklusif perjalanan perniagaan figura-figura ini dihimpunkan mengikut bidang keusahawanan yang diceburi, iaitu 11 lakaran kejayaan dalam bidang makanan dan minuman; enam (6) lembaran gemilang dalam bidang perkhidmatan; empat (4) citra niaga dalam bidang kosmetik dan kesihatan; tujuh (7) kanvas sukses dalam bidang teknologi, fotografi dan audiografi; enam (6) ceritera unggul dalam bidang peruncitan; dan lima (5) jejak gemilang dalam bidang kreatif dan tekstil. Hasrat penghasilan wacana ini adalah bagi memberikan motivasi dan inspirasi kepada pelajar dan khalayak pembaca yang berkeinginan untuk menceburi bidang keusahawanan dengan mengangkat catatan perjalanan sebenar usahawan pelajar ke dalam bentuk yang mudah untuk difahami dan dihayati. Satu demi satu lipatan pengalaman digarap agar dapat memberikan pengalaman pembacaan yang lebih nyata dan segar dengan kisah sebenar yang seolah-olah diceritakan sendiri oleh usahawan pelajar tersebut. Semoga dengan penerbitan naskhah ini juga akan mendorong IPT untuk lebih giat lagi melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam kalangan pelajar yang mempunyai kualiti daya saing tinggi di samping bersedia menghadapi realiti dunia perniagaan.

Item Type: Book Chapter
Subjects: H Social Sciences > H Social Sciences (General)
H Social Sciences > HF Commerce > HF5001 Business. Business Administration
H Social Sciences > HF Commerce > HF5415 Halal entrepreneurship
H Social Sciences > HF Commerce > HF5475.I74 Halal business, entrepreneur, marketing, management, and administration
H Social Sciences > HF Commerce > HF5001 Business. Business Administration > HF5601 Accounting. Bookkeeping
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): Kulliyyah of Allied Health Sciences
Kulliyyah of Economics and Management Sciences > Department of Accounting
Kulliyyah of Economics and Management Sciences > Department of Business Administration
Kulliyyah of Science
Depositing User: Dr Ros Aniza Mohd Shariff
Date Deposited: 13 Dec 2021 15:31
Last Modified: 13 Dec 2021 15:31
URI: http://irep.iium.edu.my/id/eprint/94669

Actions (login required)

View Item View Item

Downloads

Downloads per month over past year