IIUM Repository

Amalan pemilikan harta intelek bagi tujuan pengkomersialan oleh universiti di Malaysia

Mohamad, Ani Munirah and Omar, Mohd. Faizal and Mohd. Karim, Khofizhoah and Abdul Rahim, Mohd Aamir Adeeb and Mohamed, Khadijah and Abd Aziz, Ahmad Shamsul and Wan Zahari, Wan Mohd. Zulhafiz and Wan Ahmad, Wan Norhayati and Abdul Shukor, Junidah and Mohd Norasli, Norhani and Abdul Razak, Farihana (2024) Amalan pemilikan harta intelek bagi tujuan pengkomersialan oleh universiti di Malaysia. Technical Report. Kementerian Ekonomi, Putrajaya, Malaysia.

[img] PDF (Technical Report) - Published Version
Restricted to Repository staff only

Download (22MB) | Request a copy

Abstract

Kajian “Amalan Pemilikan Harta Intelek Bagi Tujuan Pengkomersialan Oleh Universiti Di Malaysia” ini dilaksanakan oleh pasukan penyelidik daripada Universiti Utara Malaysia bersama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang dibiayai oleh Kementerian Ekonomi. Pemerhatian kajian dari aspek pemilikan, penerima gunaan sehingga kepada keupayaan pemindahan teknologi mendapati harta intelek seharusnya berpotensi dimanfaatkan oleh pemilik harta intelek tersebut antaranya melalui pengkomersialan. Secara umumnya, harta intelek akan menjadi sebahagian daripada sumber kekayaan baharu negara. Melalui inovasi, peralihan ekonomi yang melibatkan adaptasi teknologi akan menjana pembangunan ekonomi negara dengan lebih berkesan. Berdasarkan Laporan Indeks Inovasi Global/Global Innovation Index (GII) Tahun 2023 yang telah dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) di Geneva, Switzerland (Malaysian Science and Technology Information Centre [MASTIC], 2023) mendapati bahawa Malaysia dari sudut inovasi bagi tahun 2022 berada pada kedudukan ke-36 daripada 132 buah negara. Maka, bagi memastikan Malaysia berada dalam senarai 30 buah negara teratas dalam GII menjelang 2025, seperti yang disasarkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (Kementerian Ekonomi, 16 Ogos 2023), pendaftaran harta intelek bagi mana-mana inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan seharusnya diperkasakan. Universiti menjadi antara reagen dalam pemerkasaan penyelidikan untuk suatu penciptaan atau inovasi berasaskan teknologi sehingga berupaya menghasilkan karya sebagai harta intelek yang memiliki nilai komersial. Oleh yang demikian, kesamaran dalam isu-isu berhubung pemilikan harta intelek yang dihasilkan oleh staf dan/atau pelajar universiti di Malaysia perlu ditangani sebelum sesuatu hasil kerja itu boleh dikomersialkan. Kajian ini meninjau dan meneliti aspek pemilikan harta intelek yang dihasilkan oleh staf dan/atau pelajar universiti di Malaysia dan seterusnya merangka Draf Garis Panduan Pemilikan Harta Intelek melalui laporan ini sebagai proses pemurnian yang wajar dilakukan oleh pihak pembuat dasar. Pada peringkat awal, pemerhatian kajian mendapati bahawa polisi ‘hak istimewa profesor’ (professor’s privilege) telah diamalkan di beberapa buah negara di Eropah sebagai satu prinsip pemilikan harta intelek sebelum ini. Menurut prinsip ini, staf/penyelidik universiti yang menghasilkan sesuatu produk boleh memanfaatkan pemilikan harta intelek dalam produk tersebut atas namanya sendiri, dan bukan menjadi milik mutlak universiti. Antara kebaikan memberi pemilikan harta intelek kepada staf/penyelidik universiti adalah sebagai menghargai hasil karya mereka dan selanjutnya mengizinkan hasil karya, penyelidikan atau produk kajian mereka didaftarkan sebagai harta intelek. Implikasi daripada prinsip ini membolehkan staf/penyelidik memiliki hak eksklusif untuk mengawal dan memanfaatkan harta intelek tersebut sehingga berupaya menubuhkan syarikat terbitan bagi tujuan mengkomersialkan produk inovasi atau hasil karya mereka, bahkan keadaan ini membuka ruang untuk pemindahan teknologi (technology transfer) berlangsung dengan lebih cepat dan berkesan. Namun sehingga hari ini, prinsip ini hanya diguna pakai di dua (2) buah negara Eropah sahaja iaitu di Sweden dan Itali. Statistik menunjukkan kedua-dua negara yang mengamalkan polisi ini merekodkan peningkatan bilangan syarikat permula (start-up company) universiti. Satu perkara menarik untuk diketengahkan ialah trend syarikat permula turut meningkat bagi beberapa buah negara yang telah memansuhkan amalan hak istimewa profesor, seperti Norway, Finland termasuklah Jerman, dan negara-negara yang tidak pernah mengamalkan prinsip ini seperti Amerika Syarikat, United Kingdom serta Perancis. Perkara ini menunjukkan bahawa hak istimewa profesor tidak mempunyai perkaitan yang ketara dengan trend syarikat permula universiti; sebaliknya mungkin terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi perkembangan syarikat permula di negara-negara tersebut. Satu lagi perkara penting yang diketengahkan dalam kajian ini ialah analisis menyeluruh terhadap dasar serta polisi harta intelek yang diamalkan di Malaysia, dan beberapa universiti terpilih di dalam dan di luar negara sebagai usaha memahami faktor-faktor yang mempengaruhi pemilikan harta intelek dalam konteks universiti. Kesimpulan daripada pemerhatian kajian mendapati terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada pemilikan harta intelek di universiti seperti dana pembiayaan, sumbangan kepada pembangunan produk, lokasi pembangunan prototaip, skop pekerjaan dan beberapa lagi yang dirasakan relevan telah dibincangkan dan dihuraikan dalam laporan ini. Di samping itu, laporan ini juga turut membincangkan cadangan Kementerian Ekonomi berkenaan pembiayaan terhadap aktiviti penyelidikan pelajar pascasiswazah universiti di Malaysia. Pemerhatian mendapati bahawa pembiayaan penyelidikan melalui program baucar secara perkongsian kos belum pernah dilaksanakan. Merujuk kepada beberapa model program baucar yang diamalkan di negara-negara lain, contoh-contoh ini memberikan gambaran awal untuk membangunkan suatu model mengikut kesesuaian dan keperluan acuan negara. Antara model program baucar yang diperhatikan ialah baucar bernilai rendah, baucar yang bernilai tinggi, perkongsian kos/peruntukan baucar, baucar sebagai ganjaran, pemberian baucar secara ansuran/berperingkat, baucar berupa penajaan bukan berbentuk kewangan dan baucar untuk penajaan modal permula (start-up capital). Maka, melihat keupayaannya sebagai suatu bentuk alternatif pembiayaan yang bersifat efektif dan holistik, sebuah Model Program Baucar Secara Perkongsian Kos telah berjaya dirangka dan dibangunkan dalam kajian ini. Berdasarkan model program baucar yang dibangunkan, pembiayaan bermula daripada fasa awal penyelidikan iaitu fasa idea dan validasi, diikuti dengan fasa pembangunan dan pengujian, seterusnya fasa pematuhan dan pensijilan iaitu sebelum fasa akhir yang merujuk fasa pelancaran yang melibatkan sasaran pemilikan harta intelek dan proses ke arah pengkomersialan. Sehubungan dengan itu, kajian telah meneliti beberapa kelayakan yang menjadi prasyarat dalam pemilihan pelajar pascasiswazah sebagai pengguna inovasi (innovator) atau orang yang membawa pembaharuan untuk terlibat dalam program baucar yang menyasarkan kemenjadian pelajar ke arah dengan pemilikan harta intelek sebagai hasil daripada pelaksanaan program tersebut. Laporan ini turut membentangkan kaedah pelaksanaan menjurus kepada aspek pengawalseliaan, strategi pelaksanaan, dan skop pembiayaannya serta impak dan perkara-perkara antara perkara-perkara yang dibincangkan, dinilai dan ini.

Item Type: Monograph (Technical Report)
Additional Information: 7704/122894
Subjects: K Law > K Law (General)
K Law > K1401 Intellectual Property
K Law > K85 Legal research
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws
Depositing User: Dr. Wan Mohd Zulhafiz Wan Zahari
Date Deposited: 26 Aug 2025 13:10
Last Modified: 26 Aug 2025 14:51
URI: http://irep.iium.edu.my/id/eprint/122894

Actions (login required)

View Item View Item

Downloads

Downloads per month over past year