IIUM Repository

Allama Muhammad Iqbal: teori personaliti dan pembinaan ego (khudi)

Abdul Razak, Mohd Abbas and Hassan Mydin, Shaik Abdullah (2026) Allama Muhammad Iqbal: teori personaliti dan pembinaan ego (khudi). Penerbit Universiti Sains Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia. ISBN 978-629-460-070-6

[img]
Preview
PDF - Published Version
Download (5MB) | Preview
[img]
Preview
PDF (Letter from publisher) - Supplemental Material
Download (389kB) | Preview

Abstract

Usaha penulisan tentang Allama Muhammad Iqbal (1877–1938) ini merupakan hasil penyelidikan tentang seorang tokoh pemikir Muslim prolifik yang ingin diketengahkan untuk bacaan orang awam dan ahli akademik. Karya ini merupakan satu ikhtiar murni ke arah memahami latar belakang pujangga Iqbal dan idea-idea utama beliau tentang manusia dan pembangunan personaliti. Iqbal bukan sekadar membongkar rahsia manusia, malah membetulkan fahaman yang salah tentang tujuan kehidupan sebenar manusia yang kaya dengan nilai-nilai unggul. Iqbal merupakan seorang pemikir Islam terkemuka yang muncul pada awal abad ke-20. Sebagai seorang ilmuwan dan pemimpin yang serba boleh, beliau mempunyai penguasaan dalam pelbagai disiplin ilmu seperti falsafah, puisi, sejarah, tamadun, politik, pendidikan, undang-undang dan mistisisme. Peristiwa yang berlaku pada zamannya mencabar beliau untuk mengutarakan sebuah falsafah baharu demi kelangsungan hidup umat Islam. Semua idea beliau yang dikongsi melalui puisi dan falsafahnya berpaksi pada dua sumber utama Islam, iaitu al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Puisi dan falsafah ialah dua alat yang digunakan untuk menyampaikan ideanya kepada ahli akademik dan orang awam. Bagi sebahagian besar penduduk di benua kecil India, Iqbal terkenal dengan puisi mistik yang menyegarkan. Pada zaman Iqbal, sudah menjadi kebiasaan orang ramai menghabiskan masa lapang dengan membaca dan mendengar puisi melalui media. Walaupun idea-idea Iqbal mendapat kritikan daripada segolongan sufi pada zamannya sejak era moden sehingga kini, pada umumnya idea-idea beliau diterima baik oleh umat Islam daripada semua golongan mazhab dan denominasi dalam Islam. Ramai yang masih belum mengetahui bahawa Iqbal adalah antara personaliti Muslim yang paling banyak diteliti selepas Rasulullah SAW. Dakwaan yang dibuat oleh sesetengah ilmuwan bahawa idea Iqbal tidak lagi relevan dalam dunia moden adalah tidak benar. Dalam menganalisis masalah dalam dunia Islam, para penyelidik mendapati bahawa walaupun semua negara Islam telah bebas daripada cengkaman penjajahan Barat, mereka tidak bergerak jauh daripada masalah yang diketengahkan oleh Iqbal. Sebagai seorang cendekiawan dan pemimpin yang berwawasan, Iqbal menentang sekeras-kerasnya falsafah penyangkalan diri, kepercayaan karut, cara berfikir fatalistik, mentaliti hamba, peniruan buta terhadap Barat, pseudomistisisme dan kepercayaan lain yang berleluasa dalam kalangan masyarakat Islam pada zamannya. Untuk membetulkan keadaan, Iqbal mengembangkan dan memperkenalkan falsafah egonya yang tersendiri. Falsafah baharu yang dinamakan ‘Khudi’ ini menyeru kepada pengukuhan personaliti manusia. Iqbal yakin bahawa melalui falsafah tersebut, umat Islam di benua kecil India dan di seluruh dunia akan dapat memulihkan maruah, kebanggaan dan kemasyhuran yang hilang pada masa lalu, iaitu semasa Zaman Keemasan Islam (750–1258). Selain menyelami hakikat manusia secara mendalam, Iqbal juga menegaskan bahawa martabat umat Islam terletak pada penghayatan agama dan pembangunan sahsiah. Dalam hal ini, Iqbal menjadikan al-Quran dan Nabi Muhammad SAW sebagai rujukan utama dalam mencungkil bakat dan potensi manusia. Satu perkara penting yang perlu ditegaskan ialah hakikat bahawa Iqbal tidak menolak pemikiran Barat secara bulat-bulat tetapi menganalisis kekuatan dan kelemahan dunia Barat moden dalam memahami manusia dan personaliti diri. Iqbal bukan hanya mengkritik tetapi juga berusaha sedaya upaya untuk menjelaskan secara ikhlas kepada masyarakat Barat moden bahawa sikap memisahkan agama daripada kehidupan manusia adalah satu kesilapan besar dalam memahami agama dari perspektif penciptaan alam semesta. Bagi Iqbal, agama amat penting untuk memahami hakikat manusia yang sebenarbenarnya, dan pemahaman tersebut dapat mengangkat martabat manusia dan menyelamatkan seseorang daripada kesusahan dan tragedi. Oleh yang demikian, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pemikiran Iqbal bukan sahaja membantu menyelamatkan masyarakat Islam di Timur, tetapi juga menyelamatkan umat manusia di Barat. Pendekatan harmoni yang diperkenalkan oleh Iqbal, yang menekankan keperluan insan terhadap panduan agama dalam menjalani kehidupan di samping proaktif memanfaatkan keupayaan empirikal, mampu melahirkan individu dan masyarakat yang bergerak ke arah pembinaan tamadun yang sejahtera secara menyeluruh. Penyelidikan tentang karya Iqbal menunjukkan bahawa beliau bukan sahaja seorang tokoh popular yang dikenali di dunia Islam, malah turut disegani di dunia Barat sebagai seorang pemikir dan ahli falsafah. Beliau juga merupakan seorang penyair yang kritis dalam menganalisis permasalahan masyarakat global secara adil serta melontarkan idea-idea bernas bagi mengatasi penyakit spiritual manusia yang semakin kronik. Dalam konteks Iqbal, beliau dilihat sebagai seorang ‘pembaharu’ yang menyeru kepada pengamalan semangat dan dinamik sebenar yang terdapat dalam al-Quran dan sunah terhadap semua falsafah penafian diri dan tasawuf semu. Melalui karya sederhana ini, perbincangan difokuskan kepada kehidupan dan pekerjaan Iqbal, keadaan umat Islam pada zamannya, falsafah Khudi, potensi tersembunyi dalam ego manusia, cara ego harus berinteraksi dengan Tuhan, alam dan ego kolektif masyarakat, unsur-unsur yang boleh menguatkan dan melemahkan ego, serta masyarakat yang ideal untuk pertumbuhan ego. Akhir sekali, penerbitan buku ini merupakan satu usaha bercita-cita tinggi untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar di Malaysia dan rantau Nusantara mengenai falsafah dan idea-idea Iqbal tentang cara untuk mengembalikan kegemilangan dan kemasyhuran umat Islam yang telah hilang. Mohd Abbas Abdul Razak & Shaik Abdullah Hassan Mydin Januari 2026

Item Type: Book
Uncontrolled Keywords: Allama, Iqbal, Teori Personaliti, Pembinaan Ego, Khudi
Subjects: B Philosophy. Psychology. Religion > B Philosophy (General)
B Philosophy. Psychology. Religion > BF Psychology
B Philosophy. Psychology. Religion > BJ Ethics
B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc > BP1 Islam
B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc > BP1 Islam > BP173.5 Islam and world politics
B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc > BP1 Islam > BP174 The Practice of Islam
BPL Islamic education > BPL27 Aims and objectives of education. Sustainable education
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences > Department of Fundamental and Inter-Disciplinary Studies (Effective: 5th Feb 2014)
Depositing User: Dr. Mohd Abbas Abdul Razak
Date Deposited: 26 Jul 2026 05:43
Last Update: 26 Jul 2026 05:43
Queue Number: 2026-07-Q4214
URI: http://irep.iium.edu.my/id/eprint/130127

Actions (login required)

View Item View Item