IIUM Repository

Gantirugi akibat pembatalan pertunangan: Menurut fiqh serta amalannya di Mahkamah Syariah

Sitiris, Miszairi and Mohamad, Nurul 'Aridah (2017) Gantirugi akibat pembatalan pertunangan: Menurut fiqh serta amalannya di Mahkamah Syariah. In: International Conference On Law And Islamic Jurisprudence(ICLIJ 2017), 28 April 2017, Pulau Langkawi, Kedah.

[img] PDF (Proceeding) - Published Version
Restricted to Registered users only

Download (3MB) | Request a copy

Abstract

Perubahan pengamalan serta pemahaman masyarakat masa kini dalam melangsungkan majlis pertunangan memberikan kesan terhadap beberapa persoalan fiqh terutamanya apabila berlakunya pembatalan pertunangan. Telah menjadi kebiasaan pada masa sekarang acara pertunangan disambut dengan satu majlis rasmi yang memakan perbelanjaan yang besar disertai dengan pemberian hadiah yang berharga dan mewah. Persoalan timbul apabila pertunangan itu dibatalkan. Adakah hadiah pemberian pertunangan itu boleh minta dikembalikan? Adakah gantirugi perbelanjaan mengadakan majlis pertunangan boleh dituntut jika pihak lelaki membatalkan pertunangan? Adakah perbelanjaan lain yang mungkin dikeluarkan atau sebarang kerugian yang mungkin timbul sepanjang tempoh sebelum pertunangan itu dibatalkan boleh dituntut? Kajian ini cuba merungkai persoalan-persoalan akibat pembatalan pertunangan dari sudut fiqh dan pada masa yang sama menilai peruntukan-peruntukan yang ada dalam Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan berkaitan perkara tersebut. Penulis juga membuat analisa berapa kes mahkamah Syariah berhubung tuntutan gantirugi akibat pembatalan pertunangan. Kajian ini mendapati bahawa para ulama mazhab berbeza pendapat tentang hukum meminta kembali hadiah atau pemberian yang diberikan pada majlis pertunangan. Walau bagaimanapun mereka bersepakat jika pemberian itu adalah sebahagian daripada mahar atau mas kahwin, ia boleh dituntut semula. Para ulama mazhab silam juga bersepakat bahawa tiada sebarang gantirugi boleh dituntut akibat pembatalan pertunangan. Ini berdasarkan takyif pertunangan (atau khitbah) adalah wa‘d gayr mulzim (atau janji yang tidak mesti disempurnakan/tidak mengikat) dan bukan suatu aqad (atau kontrak yang mengikat). Oleh kerana itu, semua pihak telah sedia maklum, jika pertunangan itu dibatalkan, tiada sebarang gantirugi boleh dituntut. Tuntutan terhadap sebarang kemudaratan tidak timbul memandangkan amalan pada masa silam pertunangan dilakukan secara senyap dan tidak dihebahkan sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Pandangan ulama semasa sepakat bahawa tiada sebarang tuntutan boleh dibuat terhadap pembatalan pertunangan itu sendiri. Walau bagaimanapun, mereka berbeza pandangan dalam menuntut kemudaratan yang timbul kesan daripada pembatalan tersebut. Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan memperuntukkan bahawa pihak yang membatalkan perkahwinan tidak dibenarkan meminta semula hadiah pertunangan diberi kecuali dengan syarat pembatalan tersebut dilakukan dengan sebab yang sah, sebaliknya pihak yang ingin mengekalkan ikatan dibenarkan meminta semula hadiah yang diberikan pada majlis pertunangan. Undang-undang juga membenarkan tuntutan gantirugi terhadap sebarang perbelanjaan yang dikeluarkan bagi tujuan persediaan mengadakan majlis perkahwinan atau walimah. Mana kala kerugian selain daripada tujuan tersebut adalah tidak dibenarkan untuk dituntut. Penulis berpendapat bahawa peruntukan undang-undang yang mengatakan “dengan sebab yang sah” perlu diperjelaskan. Penghadan menuntut gantirugi kepada perbelanjaan berkaitan persediaan perkahwinan wajar diperluaskan bagi menegakkan keadilan.

Item Type: Conference or Workshop Item (Plenary Papers)
Additional Information: 2419/63335
Uncontrolled Keywords: Gantirugi pertunangan, hadiah pertunangan, putus tunang, Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia
Subjects: K Law > KBP Islamic Law > KBP1 Islamic law.Shariah.Fiqh > KBP490 Furūʻ al-fiqh. Substantive law. Branches of law. > KBP524 Aḥwāl shakhṣīyah
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences > Department of Fiqh and Usul al-Fiqh
Depositing User: DR MISZAIRI SITIRIS
Date Deposited: 17 Apr 2018 16:11
Last Modified: 17 Apr 2018 16:11
URI: http://irep.iium.edu.my/id/eprint/63335

Actions (login required)

View Item View Item

Downloads

Downloads per month over past year