Subramaniam, Vijayaletchumy and Nagaraju, Pavitira and Nahar, Nora'Azian and Salleh, Che Ibrahim
(2026)
BUKU KUASAI GOLONGAN KATA MELALUI KONSEP MI (JILID 1).
Penerbit Universiti Putra Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.
ISBN 978-629-7689-37-1
Abstract
Buku Kuasai Golongan Kata Melalui Konsep MI (Jilid 1: Maksud) ini telah dibangunkan berdasarkan inovasi Konsep MI yang telah dihasilkan melalui kerja penyelidikan selama 2 tahun. Hasil penyelidikan membuktikan bahawa murid sekolah rendah amat lemah dalam pengkategorian Kata Nama (KN), Kata Kerja (KK), dan Kata Adjektif (KA) yang berfungsi sebagai golongan kata utama. Kebanyakan murid bergantung kepada maksud perkataan dalam menentukan golongan kata sesuatu perkataan, menganggap semua perkataan berimbuhan
sebagai KK, dan tidak mengenali imbuhan KN. Perkara ini telah menunjukkan bahawa kita memerlukan satu ketetapan dalam aspek pengkategorian golongan kata yang dapat memudahkan pemahaman murid sekolah. Begitulah terbentuknya Konsep MI yang mengetengahkan kriteria maksud perkataan dan imbuhan yang dapat membantu murid untuk mengkategorikan golongan kata dengan lebih mudah. Konsep MI telah disertakan elemen warna (Lampu Isyarat Golongan Kata), lukisan (Orang Adjektif), model (Model Piramid NAsKp) dan permainan (Permainan Cam Kata). Namun, buku ini hanya menekankan kriteria maksud perkataan untuk menentukan golongan kata dengan lebih mudah. Buku ini boleh menjadi panduan kepada warga pendidik dan murid untuk mengenali cara pengkategorian golongan kata melalui latihan interaktif. Buku ini juga dibangunkan untuk menepati kehendak murid yang terdiri daripada generasi Z dan Alpha yang lebih tertarik dengan bahan interaktif. Perkara ini dapat memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP). Buku ini juga dapat memenuhi kemahiran dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran Sekolah (DSKP) yang menekankan aspek kemahiran penguasaan golongan kata yang
terdiri daripada KN, KK, dan KA. Penerangan dan latihan yang disediakan juga lebih kepada aras pembelajaran kendiri, iaitu guru akan menjadi pembimbing semasa PdP dilaksanakan. Justeru Buku Kuasai Golongan Kata Melalui Konsep MI (Jilid 1: Maksud) yang dibangunkan berdasarkan inovasi Konsep MI harus dimiliki oleh setiap warga pendidik dan murid untuk dijadikan sebagai panduan dalam pengkategorian KN, KK, dan KA.
Actions (login required)
 |
View Item |