Zainuddin, Ani Amelia and Rasat, Rahmah and Mohd Daud, Tuti Iryani and A. Wahab, Norasyikin and Hanin Hamjah, Salasiah and Mokhtar, Rafidah Hanim and Md Yusof, Mohd Izwan and Draman, Samsul
(2024)
Polisi pengurusan individu Muslim yang mengalami kecelaruan gender (Gender Dysphoria) dan disyaki mempunyai kekeliruan jantina (Disorders/Differences of Sex Development) menurut perspektif Islam dan perubatan di Malaysia.
Policy Paper.
UNSPECIFIED.
Abstract
Polisi ini telah dibuat berdasarkan penyelidikan yang menggunakan dua reka bentuk kajian iaitu kuantitatif dan kualitatif. Kedua-duanya diaplikasikan berdasarkan objektif dan fokus bagi setiap persoalan kajian. Kaedah penyelidikan ini penting untuk memastikan kaedah serta hala tuju yang menepati ciri-ciri daripada kedua-dua perspektif iaitu syariah dan perubatan. Polisi yang menggabungkan perspektif syariah dan perubatan dalam mengendalikan individu DSD ini adalah yang pertama dibangunkan di dunia. Dalam kajian ini, dua kaedah telah digunakan iaitu Penyelidikan Reka Bentuk dan Pembangunan (DDR) dan Kaedah Fuzzy Delphi (FDM). Aplikasi kaedah ini telah dibahagikan kepada tiga fasa; fasa
analisis keperluan, fasa reka bentuk dan pembangunan polisi dan fasa penilaian dan kebolehgunaan polisi;
1) Fasa analisis keperluan
Fasa pertama ini telah dilaksanakan untuk melihat tahap keperluan polisi yang dibangunkan dengan mengenal pasti elemen, komponen dan istilah penting dalam polisi yang dibina dan mengenal pasti jurang tertentu melalui analisis topik dan isu sedia ada berkaitan polisi yang dibangunkan.
Kaedah kajian adalah separa kualitatif manakala instrumen, kesahan, kebolehpercayaan dan sampel adalah berdasarkan prosedur standard setiap reka bentuk kajian. Data analisis keperluan telah dikumpul daripada Perbincangan Meja Bulat bersama pakar-pakar dalam bidang berkaitan. Prosedur pelaksanaan Perbincangan Meja Bulat telah melibatkan 17 orang pakar daripada KKM, JPN, JAKIM, Pejabat Mufti dan universiti yang dikumpulkan dalam satu sesi. Satu set soalan temu bual separa berstruktur telah dibina.
Setelah Perbincangan Meja Bulat dijalankan, transkripsi dan rekod dijana. Data dianalisis mengikut tema dan subtema kajian yang telah ditentukan secara manual oleh pakar dalam bidang kualitatif.
2) Fasa reka bentuk dan pembangunan polisi
Seterusnya, fasa kedua ini bertujuan untuk menyatakan kepentingan polisi yang dibina dan dibangunkan dengan membina dan membangunkan draf pertama polisi berdasarkan bukti, teori dan model yang selaras dengan nilai akademik dan kredibel perubatan serta syariah Islam yang tepat, dan benar yang boleh menstrukturkan objektif dengan lebih baik dan berkesan.
Langkah-langkah yang telah diambil dalam mereka bentuk dan membangunkan model polisi adalah seperti berikut :
a. Membina dan menghasilkan elemen dan komponen utama polisi berdasarkan dapatan kajian
fasa pertama untuk dikemukakan kepada sekumpulan pakar melalui dua sesi bengkel yang dianjurkan pada November 2022 dan Januari 2023.
b. Memilih dan menugaskan 17 orang pakar dalam bidang berlainan dengan kepakaran masing-masing melebihi 5 tahun secara konsisten yang sesuai dengan konteks kajian.
c. Mengaplikasikan Teknik Kumpulan Nominal (NGT), iaitu perbincangan kumpulan kecil untuk mendapatkan keputusan dan pendapat bersemuka. Reka bentuk kaedah yang digunakan adalah separa kualitatif, iaitu temu bual berstruktur.
3) Fasa penilaian dan kebolehgunaan polisi
Berdasarkan dapatan kajian fasa kedua, fasa seterusnya dan terakhir telah dilaksanakan dengan menyusun keutamaan dan kesesuaian elemen dan komponen dalam polisi yang telah dibina dan dibangunkan seterusnya mengukur keupayaan dan kebolehgunaan polisi yang telah dihasilkan.
Pada fasa ini, polisi yang dibina berasaskan pandangan dan persepsi pakar yang terdiri daripada pengamal perubatan, tokoh agama, penggubal dasar dan pelaksana pada dua sesi bengkel yang lalu, dinilai dan dianalisis melalui kaedah Fuzzy Delphi. Kaedah ini digunakan bagi mendapatkan persetujuan sekumpulan pakar penilai dari segi pengesahan, penilaian, penambahan dan penolakan elemen dan komponen yang dihasilkan.Satu soal selidik bagi menilai tahap kebolehgunaan polisi yang telah dibina dan dibangunkan, diberikan kepada 12 penilai luaran. Analisis dari dapatan kajian telah dibentangkan dalam bentuk separa kuantitatif. Dapatan kajian fasa ini merupakan elemen dan komponen utama polisi yang telah dipersetujui oleh pakar yang dipilih. Hasil daripada penyelidikan ini, polisi yang telah dibina dan dibangunkan berasaskan bukti tersebut dapat memastikan pengurusan yang holistik terhadap individu Muslim yang mengalami DSD atau GD secara optimum. Polisi ini bukan sahaja untuk mereka tetapi untuk keluarga, komuniti dan masyarakat
secara keseluruhannya.
Actions (login required)
 |
View Item |