IIUM Repository

Pelangi kesusasteraan Islami: menyingkap khazanah Melayu Arab Parsi Turki

Lubis, Muhammad Bukhari and Lubis, Firuz Akhtar and Ahmad Safian, Nursafira (2024) Pelangi kesusasteraan Islami: menyingkap khazanah Melayu Arab Parsi Turki. Penerbit USIM, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia. ISBN 978-629-7636-47-4

[img]
Preview
PDF (Book) - Published Version
Download (2MB) | Preview

Abstract

Dari segi tajuk dan bidang, buku ini segera menyerlahkan kebitaraannya, sebuah karya perintis di Malaysia. Sesuai dengan sifat pelangi yang bermacam-macam warna, tersajilah bahasan yang rencam, namun masih di bawah satu naungan atau gema; itulah kesusasteraan Islami.2 Terangkum di dalamnya satu khazanah yang meliputi kesusasteraan Melayu, Arab, Parsi dan Turki, jika diukur dari sudut rantau/kawasan dan bangsa; sementara itu tidak pula diketepikan perbincangan yang lebih umum dan masih berkaitan antara satu sama lain: kesusasteraan Islami dan kesusasteraan bandingan. Oleh sebab berteraskan keagamaan dalam kegiatan pengkaryaan, maka tiang atau paksi “Islam” itu mestilah diutamakan. Maka lahirlah perkara yang dipanggil “Kesusasteraan Islami.” Kesusasteraan yang berlandaskan agama itu pastilah dihasilkan oleh para penganutnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Setiap bangsa, menerusi sasterawannya yang berbakat, sentiasa menghasilkan karya sastera dalam bahasa ibunda masing-masing. Hasilnya, muncul usaha membandingkan karya-karya yang ditulis dalam pelbagai bahasa Islami itu. Sebagai natijahnya, timbul usaha mengembangkan “Kesusasteraan Bandingan.” Dalam keadaan begitu, tinjauan terhadap sastera dalam satu-satu bangsa tidaklah diabaikan, kerana masing-masing mengetengahkan keterampilan seni dan keistimewaannya. Sesuai sekali diperhatikan kegiatan pengkaryaan dalam bangsa-bangsa ini; lantas kami meninjau perkembangan dalam “Kesusasteraan Melayu”, “Kesusasteraan Arab”, “Kesusasteraan Parsi”, dan “Kesusasteraan Turki.” Esei-esei yang diketengahkan dalam himpunan ini, ada yang berasal daripada tugasan ketika mengikuti program siswazah, sama ada di dalam mahupun luar negara; juga daripada kertas kerja yang disediakan untuk persidangan dan seminar di Malaysia dan seberang laut; dan daripada esei-esei khas untuk penerbitan majalah dan jurnal. Sehubungan dengan asal bahan begini, persoalan “kedalaman” dan “kedangkalan” (atau “kepanjangan” dan “kependekan”) satu-satu esei tidaklah dipandang penting kerana ia lebih mendedahkan “sejarah perkembangan penulisan atau kepengarangan seseorang individu/sarjana”; mungkin sahaja melibatkan periode dua atau tiga dekad. Jauh sekali untuk dibandingkan atau disamakan dengan sesebuah antologi/himpunan esei yang dirancang khas dengan teliti, disumbangkan oleh sekumpulan ahli akademik atau sebarisan pengarang yang memang dirunding khusus untuk projek sebesar itu. Bagi “Kesusasteraan Islami”, penulis menjelaskan awal-awal lagi bagaimana sastera ini diperdebatkan hebat di Malaysia sejak dasawarsa 1970-an, menjadi perhatian dan tinjauan sang penulis. Selanjutnya diperkenalkan unsur-unsur yang menjadi paksi dan tulang belakang estetik dalam kesusasteraan Islami. Tidak ketinggalan, dibincangkan “puisi Sufi” yang banyak berjasa dalam perkembangan kesusasteraan Islami sedunia, merentasi sempadan bangsa-bangsa Muslim. Dalam perkembangan sastera umat Islam, ada satu sikap baik golongan penyair berkenaan. Ada antaranya yang amat berketerampilan dalam mencipta sajak-sajak mulamma‘, iaitu “sajak yang ditulis dengan menggunakan satu aksara, namun ia diucapkan melalui saluran dua bahasa atau lebih.” Dalam banyak genre puisi Islami itu, banyak juga penyair yang suka menggunakan takhallus dalam karyanya, iaitu pernyataan nama (kebanyakannya nama pena) penyair dalam bait terakhir atau kedua terakhir puisinya. Peranan dan jasa sasterawan daripada golongan ahli Sufi dalam kesusasteraan Islami amatlah besar. Dalam konteks Kesusasteraan Melayu khasnya di peringkat awal, meskipun karya sasterawan – Sufi itu kecil (tidak banyak kuantitinya), namun kesan dan impaknya dalam sastera sebangsa amatlah besar. Lihat sahaja Hamzah Fansuri (q.s) yang dinobatkan sebagai “Bapak Kesusasteraan Melayu Moden” dalam karyanya jelas terserlah kewibawaannya menyebar dan menghurailanjutkan ajaran Islam melalui puisi dan risalahrisalah prosaiknya. Dari segi perpuisian, ia lebih menyentuh aspek tasawuf (sastera Sufi), maka diulas tuntas idea-idea tasawuf yang tertuang dalam sajak-sajak Hamzah Fansuri (q.s) dari Alam Melayu dan İbrahim Hakkı Erzurumlu (q.s) dari Türkiye (Osmaniah). Tentulah ada aspek yang tidak ditinggalkan dalam masyarakat atau tamadun Islam, antaranya amalan berpuasa. Maka ada kajian membandingkan betapa puisi yang berpaksikan “bulan Ramadan” didendangkan dalam masyarakat Melayu, Arab, Parsi dan Turki. Masih setaraf lagi, gejala penciptaan “bahasa-bahasa kiasan” dalam kelompok bahasa-bahasa Islami itu. Amat mengasyikkan renungan para penyair dari pelbagai masyarakat yang terbabit. Pada amnya, apa-apa yang dibandingkan ialah hasil karya seorang “sasterawan” dengan karya “sasterawan” lain. Ada satu lagi aspek yang turut terlibat, itulah buah fikiran dan gagasan daripada “ahli sastera” atau sarjana dengan “rakan seperanan dan setugas” nya. Alhamdulillah, dari semasa ke semasa muncullah sarjana atau pemikir yang prihatin, terhadap pengkaryaan Islami. Mereka tidak jemu-jemu, malah sentiasa bersemangat (baraka’llah fi-him), melontarkan idea dan renungan ijtihadi mereka tentang konsep kesusasteraan Islami; baik dari Dunia Arab/India mahupun Alam Melayu. Situasi ini mengilhamkan beberapa pengkaji setempat untuk membandingkan pandangan seorang ulama Arab dengan ulama Melayu (Muhammad Qutb dengan Muhammad Uthman El-Muhammady), dan ulama India dengan sarjana Melayu (al-Nadwi dengan Kemala atau Ahmad Kamal Abdullah). Amat menarik dan hasil pemikiran mereka ini wajar sekali dijadikan panduan dan pedoman. Sumbangan masyarakat kita dalam tamadun Islam, daripada konteks “Kesusasteraan Melayu”, tidaklah mudah dipandang rendah atau ringan. Tokoh yang menyusuli Hamzah tentulah Syamsuddin as-Sumatra’i (q.s) yang karyanya dalam buku ini, kali pertama dipersembahkan dan diketengahkan, itulah dua buah puisi Sufinya yang diedit (daripada tersimpan dalam bentuk manuskrip di perpustakaan atau arkib), satu dalam bahasa Melayu dan satu lagi dalam bahasa Arab. Dalam karya berkenaan disertakan pula huraian dan keterangan untuk menjelaskan isi dan maksudnya. Bagi yang moden, terangkum dalam kumpulan esei ini novel Ayahanda, karya Azizi Haji Abdullah (r.h). Dengan nada yang selamba, novelis ini menyengat pembaca, apabila dia mengulas gejala-gejala yang berlaku dalam masyarakat semasa. Tidak dapat dipisahkan atau diketepikan sumbangan para ahli agama dan agamawan dalam kesusasteraan kita. Untuk itu, dibahaskan khusus sumbangan (1955 – 2005) lepasan tiga Kolej Islam (bersatu atas nama ALKIS [Alumni Kolej Islam]): Kolej Islam Malaya (KIM), Kolej Islam Klang (KIK), dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Rasulullah SAW sebagai tokoh teladan dan ikutan, cukup banyak disentuh dalam sastera kita. Memecah rekod dunia, pada pandangan sederhana kami, Pak Samad (S.N. A. Samad Said) setakat ini [2023] berjaya menjadi pujangga yang berketerampilan menghasilkan sebuah kumpulan sajak yang terpanjang dan teragung di dunia, fokus terhadap pujian serta sanjungan buat Rasulullah Junjungan Besar kita itu, dengan judul Al-Amin (2000). Berlandaskan kaedah analisis kandungan, dalam genre sastera kembara (travelog), karya Teme Abdullah (Pelukis Jalanan dan Arkitek Jalanan) yang berlatarbelakangkan kehidupan di London, diulas dengan mengikut Teori Takmilah, khususnya unsur-unsur pembangunan insani (aspek akidah dan ibadah). Hasil kajian yang menumpukan “Prinsip Pengkarya Mengisitikmalkan Diri” amat menarik untuk direnungkan. Dalam “Kesusasteraan Arab”, sebagai golongan yang awal-awal berjasa dalam perkembangannya, al-Shushtari (q.s) dibahas dalam peranannya sebagai penyair-Sufi dari Andalus (Sepanyol Islam). Untuk yang moden, ada esei yang membahaskan sumbangan Muhammad Hasan Brighish dan Tawfiq al-Hakim. Sasterawan dari Syria, Muhammad Hasan Brigish, dalam karyanya yang terkenal, kumpulan cerpen al- Shaykh Za‘im, dengan jelas berjaya mengemukakan elemen akhlak Islamiah. Elemen ini mencakupi hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia sesama manusia dengan hubungan manusia terhadap alam persekitaran. Perkara ini bukan suatu yang janggal kerana beliau sendiri merupakan seorang yang cenderung ke arah kesusasteraan Islami di samping memiliki keperibadian Muslim. Justeru, kita dapat melihat beliau menyuguhkan nilai-nilai murni dan akhlak terpuji dalam kompilasi cerpennya sebagai wadah dakwah dalam mengajak khalayak pembaca melakukan makruf dan menjauhi kemungkaran serta berperibadi luhur dan berakhlak terpuji. Walaupun dari Mesir asal negaranya, namun keterampilan senimannya sebagai sasterawan, beliau pernah dinobatkan – menurut pandangan sesetengah pihak – sebagai penulis ulung yang berjiwa seni, bukan di Mesir atau Dunia Arab, bahkan “dunia sastera” secara keseluruhannya. Itulah Tawfiq al-Hakim, penulis yang benar-benar menjiwai karya yang dihasilkannya, juga sangat cermat dan berhati-hati dalam berkarya. Genre drama dan novel menjadi bidang yang sering dijuarainya. Kajian yang dijalankan untuk esei ini sebenarnya berlandaskan “biografi” dan menerapkan pendekatan kualitatif (metode interpretasi secara deskriptif sebagai metode kajian). Seorang penyair semasa Mesir, Amal Dunqul, telah menarik perhatian pengkaji di negara kita. Ternyata penyair ini agak luar biasa bakat keseniannya, khususnya dalam bidang puisi. Dengan pengaruh ayah dan hasil pembacaannya terhadap karya-karya klasik Arab, Dunqul berjaya mencipta puisi-puisi yang menarik dan mengujakan. Sudah tertakdir, kehidupannya diakhiri dengan penderitaan kanser. Pengkritik pernah menggelar Dunqul sebagai “Pejuang Dua Dimensi”, itulah perjuangan melawan “maut” dan perjuangan menghasilkan “puisi”. Beliau tanpa segan dan takut, mengkritik kerajaan dan masyarakat negaranya yang menerima perjanjian perdamaian dengan Israel. Baginya perjanjian damai itu merugikan umat Arab dan Muslim keseluruhannya. Tidak dapat dinafikan, betapa besar jasa persuratan Arab dalam pertumbuhan dan perkembangan persuratan kita. Sudah tentulah sistem pendidikan kita menjadi antara saluran kemajuan ini. Bagi mengetahui latar belakang situasi ini, esei yang bertajuk “Pengajian Arab di Gugusan Pulau Melayu Khasnya di Malaysia” patut menjadi bahan renungan dan ulasan.

Item Type: Book
Additional Information: 8366/118739
Subjects: P Language and Literature > PJ Semitic > PJ6001 Arabic > PJ7501 Arabic literature
P Language and Literature > PJ Semitic > PJ6001 Arabic > PJ7501 Arabic literature > PJ7695.8 Individual authors or works
P Language and Literature > PL Languages and literatures of Eastern Asia, Africa, Oceania > PL5101 Malay
P Language and Literature > PN Literature (General)
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences > Department of Arabic Language and Literature
Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences
Depositing User: DR. NURSAFIRA AHMAD SAFIAN
Date Deposited: 13 Feb 2025 17:15
Last Modified: 13 Feb 2025 17:16
URI: http://irep.iium.edu.my/id/eprint/118739

Actions (login required)

View Item View Item

Downloads

Downloads per month over past year