IIUM Repository

PENTAKSIRAN BILIK DAJAH Satu Manifestasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Nordin, Mohamad Sahari (2020) PENTAKSIRAN BILIK DAJAH Satu Manifestasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. (In Press)

[img]
Preview
PDF
Download (68kB) | Preview
[img]
Preview
PDF
Download (2MB) | Preview

Abstract

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menuntut supaya bahawa guru dan sekolah berperanan membekalkan pelajar dengan berbagai-bagai pengetahuan dan kemahiran. Tetapi, FPK juga tegas menyarankan supaya usaha beterusan, menerusi pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran dilakukan untuk, “melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.” Hal ini penting supaya negara dapat “melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab.” Jelas bahawa FPK menekankan supaya berlakunya pembelajaran yang lebih meluas dan mendalam. Kini, guru dan sekolah bukan sahaja bertanggungjawab memperkembang dan mengupayakan pelajar daripada segi kognitif dan fizikal, malah bekerjasama dengan institusiinstitusi pendidikan dan masyarakat untuk berinteraksi serta membangunkan potensi-potensi rohani dan emosi pelajar. Seterusnya ialah semua hasil pembelajaran itu mesti diukur, dinilai dan dimanfaatkan secara berterusan menerusi amalan pentaksiran bilik darjah yang tentu sah, boleh dipercayai, saksama dan seimbang. Semua ini merupakan amanah yang perlu digalas oleh setiap pendidik. Selama puluhan tahun para guru begitu terlazim dan cekap melaksanakan ujian-ujian yang disejajarkan dengan peperiksaan awam untuk mentaksir pembelajaran setiap pelajar. Apabila pentaksiran bilik darjah (PBD) mula dilaksanakan sejak 2011, didapati bertali arus munculnya isu-isu berkaitan proses dan prosedur persediaan dan pelaksanaan. Jelas bahawa masih terdapat banyak masalah yang masih belum selesai, terutamanya daripada segi penerimaan, sikap guru, kesediaan psikososial guru dan ibu bapa, malahan kompetensi guru. Sebagai contoh, terdapat guru yang bertanggapan bahawa PBD adalah beban tugas tambahan, baharu dan berat. Para guru juga melaporkan bahawa mereka tidak cukup ilmu dan kemahiran untuk, (i) membina sendiri atau menggunakan pelbagai instrumen PBD, (ii) menaksir prestasi pembelajaran yang kompleks secara meluas dan mendalam, (iii) memantau perkembangan dimensi-dimensi sosial, rohani dan emosi, (iv) mengupayakan pertimbangan profesional untuk menetapkan tahap penguasaan pembelajaran kognitif dan bukan kognitif setiap pelajar, (v) mengenalpasti dan mengumpul data dan evidens yang relevan untuk menilai tahap penguasaan pelajar, (vi) menganalisis dan melaporkan keputusan pentaksiran yang menggunakan berbagai-bagai instrumen, dan (vi) menggunakan hasil pentaksiran untuk diintegrasikan dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Didorong oleh hasrat mendepani masalah-masalah tersebut, Pentaksiran Bilik Darjah: Satu Manifestasi Falsafah Pendidik Kebangsaan ini ditulis dengan matlamat menampung keperluan para pendidik. Buku ini adalah sesuai untuk dijadikan teks dan bahan rujukan asas bagi guru pelatih yang bakal ditauliahkan sebagai guru terlatih sama ada di sekolah rendah atau di sekolah menengah. Kandungan buku ini juga wajar dirujuk dan dikuasai oleh guru terlatih dan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi. Tambahan lagi, kandungannya yang sarat dengan gagasan teoretikal dan bukti empiris berguna untuk membina kerangka konsep penyelidikan dalam kalangan calon-calon ijazah sarjana, doktor falsafah dan penyelidik dalam bidang pendidikan khususnya. Dengan bertemakan PBD untuk pembelajaran, penulisan ini sarat dengan korpus ilmu dan kemahiran praktikal serta inovatif yang mempunyai potensi membantu pendidik melaksanakan pengajaran dengan berkesan, dan seterusnya membantu anak murid masingmasing mengecapi pembelajaran bermakna. Konsep dan kemahiran terkini dan melibatkan aplikasi teknologi IR 4.0 dibentangkan secara jelas, berasaskan logik dan bukti, dan mempunyai nilai-nilai realistik dan pragmatik. Dengan berpandukan kerangka Pembelajaran Abad ke-21, kandungan buku ini memandu guru untuk merancang, membina dan melaksanakan ujian-ujian yang mampu mentaksir penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi dan juga pembelajaran tingkah laku kompleks. Justeru, pelbagai teknik dan instrumen pengukuran dan penskoran diperkenalkan. Buku ini turut mengenengahkan pentaksiran bagi dimensi-dimensi selain kognitif, misalnya pengukuran adab pelajar, kewarganegaraan digital, motivasi belajar dan kecenderungan negatif menunda kerja. Semua ini sesuai disepadukan dalam proses PdPc dan hasilnya dilaporkan kepada pemegang taruh, khususnya ibu bapa menerusi pentaksiran bilik darjah. Usaha sedemikian itu dijangka dapat menjuruskan lepasan sistem pendidikan yang “. . . berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara” (Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1998).

Item Type: Book
Subjects: L Education > LB Theory and practice of education > LB1050.9 Educational psychology
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): Kulliyyah of Education > Department of Educational Psychology & Counseling
Depositing User: PROF SAHARI NORDIN
Date Deposited: 29 Dec 2020 09:47
Last Modified: 29 Dec 2020 09:47
URI: http://irep.iium.edu.my/id/eprint/87030

Actions (login required)

View Item View Item

Downloads

Downloads per month over past year