Arshad, Mastura and Abu Bakar, Kaseh
(2012)
Penggunaan strategi pembelajaran kemahiran bertutur bahasa Arab : kajian di Pusat Asasi UIAM.
In: Persidangan Kebangsaan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab 2012 (PKEBAR’12) , 19 May 2012, Klana Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Abstract
Kemahiran berbahasa ini sering dikaitkan dengan penggunaan strategi pembelajaran. Banyak kajian mendapati penggunaan strategi yang sesuai dan berkesan mampu meningkatkan kemahiran bertutur pelajar. Justeru, kajian ini meneroka penggunaan dan pengetahuan tentang strategi pembelajaran kemahiran bertutur bahasa Arab di kalangan pelajar Melayu Pusat Asasi UIAM, mengetahui hubungan antara pencapaian Ujian Kemahiran Bahasa Arab (APT Skills Test) dengan penggunaan strategi dan mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada penggunaan strategi. Kajian ini membahagikan strategi pembelajaran kemahiran bertutur bahasa Arab kepada strategi di dalam kelas, strategi penggunaan media, strategi penyertaan aktiviti ko-kurikulum, strategi bertutur bersama rakan dan strategi perseorangan (personal). Kajian ini melibatkan 163 orang pelajar jurusan Bahasa Arab (BAR) dan Ilmu Wahyu (IRK) dipilih melalui kaedah persampelan rawak berkelompok. Instrumen soal selidik telah digunakan untuk mengutip data kajian dan disahkan kandungannya oleh tiga orang pakar. Tahap nilai kebolehpercayaan alpha cronbach yang diperolehi daripada soal-selidik adalah tinggi ( >0.7). Data kajian telah dianalisis secara deskriptif dan inferensi menggunakan median, sisihan piawai, peratus, Ujian Khi Kuasa Dua dan Analisa Regresi Berganda. Dapatan utama kajian menunjukkan tahap penggunaan strategi di kalangan pelajar adalah sederhana, strategi yang tidak dikenali pelajar ialah dalam kumpulan Strategi Pembelajaran Perseorangan (Personal). Analisis data inferensi pula mendapati terdapat hubungan yang positif di antara pencapaian Ujian Kemahiran Bahasa Arab (APT Skills Test) dengan Strategi Penggunaan Media dan Strategi Pembelajaran Perseorangan (Personal). Selain itu, kesemua faktor demografi yang dikaji iaitu jantina, pencapaian Ujian Kemahiran Bahasa Arab (APT Skills Test), latar belakang pembelajaran bahasa dan tempoh pembelajaran bukanlah faktor yang menyumbang terhadap penggunaan strategi pembelajaran kemahiran bertutur bahasa Arab.
Actions (login required)
|
View Item |