Zakaria, Rozanizam
(2026)
Memperkasakan guru kaunselor tangani krisis kesihatan mental.
Tinta Minda Bernama, - (-).
pp. 1-2.
Abstract
Isu kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah bukanlah perkara baharu, namun tragedi demi tragedi berkait kesihatan mental pelajar yang terus berlaku kebelakangan ini meletakkan ekosistem pendidikan negara dalam keadaan yang amat membimbangkan.
Data daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendedahkan statistik yang sangat mengejutkan.
Jumlah kanak-kanak dan remaja (berusia lima hingga 15 tahun) yang mengalami masalah kesihatan mental di Malaysia telah meningkat dua kali ganda, iaitu mencecah 922,318 orang (16.5 peratus) berbanding sekitar 424,000 orang (7.9 peratus) pada tahun 2019.
Malah secara umumnya, prevalens gangguan mental dalam kalangan remaja tempatan dianggarkan berada pada nisbah satu daripada enam orang. Malangnya, sistem sokongan sedia ada masih berdepan dengan pelbagai kekangan berat.
Antara isu utama yang menuntut perhatian segera adalah ketidakseimbangan nisbah kaunselor berbanding jumlah murid yang ada, menyebabkan intervensi intensif sukar diberikan kepada pelajar yang berisiko tinggi.
Situasi ini diburukkan lagi dengan bebanan tugas pentadbiran, program sekolah, dan tanggungjawab luar tugas hakiki (seperti menjadi guru ganti) yang menyita waktu berharga yang sepatutnya diperuntukkan untuk sesi kaunseling.
Selain itu, tahap latihan pengendalian kes kesihatan mental yang kompleks seperti kecederaan kendiri (self-harm), krisis bunuh diri, dan gangguan psikiatri masih belum seragam,
sementara sistem saringan awal minda sihat pula belum dilaksanakan secara menyeluruh dan dipacu data secara tersusun di peringkat sekolah.
Terdapat juga jurang yang besar dalam aspek kerjasama multidisiplin, di mana laluan rujukan dan konsultasi pakar antara sekolah dan fasiliti kesihatan mental luar masih boleh diperkukuhkan.
Actions (login required)
 |
View Item |