Mohd Noor, Muhammad Nazirul
(2025)
Program Bahasa Antarabangsa Memperkukuh Pemikiran Global Pelajar.
Majalah Dewan Masyarakat, 12-2025 (-).
0-0.
Abstract
Kesedaran terhadap kepentingan penguasaan bahasa asing semakin meningkat dalam kalangan generasi muda, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang menuntut kebolehan komunikasi merentas budaya dan sempadan. Selaras dengan aspirasi ini, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh telah menganjurkan program Jendela Dunia Bahasa Antarabangsa, dengan kerjasama Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah (SMAS).
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu menghimpunkan lebih 150 pelajar dan 8 orang penceramah, dengan tujuan memperkenalkan kepelbagaian bahasa antarabangsa termasuk Mandarin, Korea, Jepun, dan Perancis melalui sesi interaktif, perkongsian inspirasi dan aktiviti santai berunsur pembelajaran.
Menurut Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikum, Ybrs. Ustaz Lukman Md Sawari, program ini merupakan inisiatif sekolah dengan kerjasama UIAM Kampus Pagoh bagi mengisi ruang dihujung kalendar akademik yang bukan sekadar pendedahan bahasa, tetapi suatu usaha membentuk pelajar mempunyai pemikiran global berteraskan nilai Islam.
“Pembelajaran bahasa asing membuka pintu kepada ilmu, hubungan antarabangsa, dan memberi pendedahan kepada pelajar untuk meneroka pembelajaran di alam universiti kelak. ” jelas beliau.
Program ini turut menyokong beberapa kerangka pendidikan antarabangsa dan nasional termasuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat). Dalam masa yang sama, elemen Maqasid Syariah, khususnya Hifz al-Aql (Pemeliharaan Akal) dan Hifz al-Ummah/Nasl, turut diterapkan bagi memastikan pembelajaran bahasa menjadi agenda pembangunan ummah yang berkualiti, berdaya saing dan berpaksikan identiti Islam.
Aktiviti bermula dengan sesi perkongsian inspirasi mengenai kepentingan bahasa antarabangsa dalam pendidikan tinggi global, diikuti siri bengkel mini pelbagai bahasa. Pelajar diberi peluang mencuba perbualan ringkas, permainan bahasa dan kuiz seputar budaya negara berkaitan.
Salah seorang peserta, pelajar Tingkatan 4, meluahkan rasa teruja beliau.
“Selama ini saya hanya dengar tentang bahasa Korea dan Mandarin melalui drama atau media, tetapi hari ini saya dapat mencuba sendiri. Seronok dan membuka mata,” katanya.
Program ini berakhir dengan sesi fotografi dan penyerahan cenderamata kepada wakil-wakil dari UIAM.Program ini diharap menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk meningkatkan kemahiran insaniah terutama dalam bahasa antarabangsa. Dengan kejayaan penganjuran program ini, IIUM Pagoh dan SMAS komited meneruskan kerjasama pendidikan bahasa antarabangsa ke arah membina modal insan yang berketerampilan komunikasi global dan beridentiti Muslim yang unggul.
Actions (login required)
 |
View Item |