Kasim, Norhidayu and Wan Azahar, Wan Nur Aifa (2024) Pastikan sistem saliran berfungsi elak banjir jejas infrastruktur jalan raya. Berita Harian. p. 12.
PDF
- Published Version
Restricted to Registered users only Download (509kB) | Request a copy |
Abstract
Monsun Timur Laut dijangka bermula pada awal November hingga Mac tahun hadapan dan musim monsun ini sering dikaitkan dengan musim tengkujuh di Malaysia. Hujan lebat dijangka turun dan mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai. Hujan lebat berserta banjir boleh menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur negara terutamanya jalan raya yang menjadi nadi utama penghubung masyarakat dan ekonomi. Kerosakan infrastruktur jalan mendatangkan kerugian yang besar kepada negara terutamanya dari segi ekonomi. Selain daripada itu, hujan lebat dan banjir boleh menyebabkan hakisan permukaan jalan di mana aliran air deras ketika hujan lebat dan banjir boleh menghakis jalan, menyebabkan jalan menjadi berlubang dan licin. Selain itu, runtuhan tebing tepi jalan juga boleh berlaku disebabkan banjir berterusan yang melemahkan struktur tanah dan mengakibatkan runtuhan yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa, penutupan jalan dan kerosakan kepada struktur jalan. Kerosakan kepada sistem saliran akibat banjir menyebabkan air bertakung di atas jalan dan merosakkan lapisan asas jalan. Banjir juga boleh merosakkan jambatan dan jejantas yang menjadi penghubung jalan sekiranya kapasiti aliran air banjir melebihi kapasiti rekabentuk struktur jambatan dan jejantas berkenaan. Kerosakan jalan akibat hujan lebat dan banjir memberi kesan kepada pengguna jalan raya dan ekonomi negara. Jalan berlubang dan runtuhan tebing boleh menyebabkan kemalangan yang mengancam nyawa pengguna jalan raya. Tambahan pula, kerosakan jalan menyebabkan aktiviti ekonomi negara terjejas di mana jalan yang rosak boleh mengganggu logistik dan pergerakan barangan, seterusnya menjejaskan sektor pertanian, perniagaan, dan industri. Kerajaan dan pihak berkuasa pula perlu menanggung kos yang tinggi untuk membaik pulih jalan dan infrastruktur yang terjejas, justru membebankan ekonomi negara. Memandangkan kesan kerosakan infrastruktur jalan akibat hujan lebat dan banjir memberi impak yang sangat besar kepada orang awam dan pihak berkuasa, langkah persediaan sebelum banjir besar perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan risiko kerosakan jalan boleh dielakkan. Kejadian banjir akibat hujan lebat dapat dielakkan sekiranya sistem saliran diselenggara dengan baik. Semua saliran, termasuk longkang, parit, dan pembetung (laluan air bawah tanah) perlu dibersihkan secara berkala untuk mengelakkan tersumbat. Sistem saliran tersumbat menyebabkan air bertakung dan merosakan asas jalan. Sistem saliran perlu ditambah di kawasan yang sering banjir, pihak berkuasa boleh memasang saliran tambahan atau memperbesarkan sistem saliran sedia ada bagi memastikan aliran air lancar semasa hujan lebat. Pemasangan pam air di kawasan kritikal yang mudah bertakung air perlu dilakukan bagi memastikan air segera dialihkan sebelum menyebabkan banjir besar berlaku. Infrastruktur jalan juga perlu diperkukuhkan dengan menggunakan bahan lebih tahan air dan tahan lasak, seperti asfalt yang dipertingkatkan atau konkrit yang kukuh, untuk mengurangkan kerosakan. Dinding penahan air juga perlu dipasang di kawasan berdekatan sungai atau kawasan rendah bagi menghalang air banjir daripada melimpah ke jalan raya. Jambatan dan laluan utama perlu diperiksa dan diperkukuhkan untuk menghadapi aliran air deras semasa banjir. Struktur ini perlu diselenggara dengan baik dan diperkuatkan jika perlu. Tebing atau cerun tepi jalan juga perlu ditanam dengan pokok atau rumput yang sesuai untuk mengukuhkan struktur tanah serta mengurangkan risiko hakisan tebing yang mana boleh menyebabkan tebing tepi jalan runtuh dan membahayakan pengguna jalan raya. Pemasangan tanda amaran di kawasan-kawasan yang kerap mengalami banjir perlu dilakukan untuk memaklumkan pemandu tentang risiko banjir dan kawasan jalan yang berbahaya bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya akibat banjir. Pusat kawalan trafik perlu ditubuhkan untuk mengarahkan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya sekiranya banjir berlaku, ini dapat mengelakkan kesesakan dan risiko kemalangan. Sekatan jalan sementara juga perlu diadakan di kawasan yang telah dikenalpasti berisiko untuk mengelakkan pemandu menggunakan jalan yang terjejas akibat banjir dan ini boleh mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya. Sistem pemantauan cuaca berterusan yang lebih canggih untuk mengesan hujan lebat dan mengeluarkan amaran awal kepada pihak berkuasa dan masyarakat perlu diwujudkan bagi mengurangkan kesan dan risiko banjir kepada orang awam dan infrastruktur negara. Latihan kecemasan kepada masyarakat perlu diadakan supaya masyarakat tahu laluan selamat dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil jika banjir berlaku. Kempen kesedaran tentang pentingnya menjaga sistem saliran, mengelak membuang sampah ke dalam longkang, dan mengetahui risiko laluan yang sering banjir perlu diadakan bagi mengelak risiko banjir. Persediaan yang rapi sebelum musim tengkujuh atau banjir besar adalah penting untuk melindungi infrastruktur jalan raya dan keselamatan orang awam. Semua pihak, termasuk pihak berkuasa dan masyarakat, perlu berganding bahu dalam memastikan jalan raya sentiasa dalam keadaan baik dan selamat, terutama semasa keadaan cuaca buruk ketika musim tengkujuh.
Item Type: | Article (Newspaper) |
---|---|
Subjects: | T Technology > TE Highway engineering. Roads and pavements T Technology > TE Highway engineering. Roads and pavements > TE250 Pavement and paved roads |
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): | Kulliyyah of Engineering > Department of Civil Engineering Kulliyyah of Engineering |
Depositing User: | Dr. WAN NUR AIFA WAN AZAHAR |
Date Deposited: | 29 Nov 2024 09:44 |
Last Modified: | 29 Nov 2024 09:44 |
URI: | http://irep.iium.edu.my/id/eprint/116134 |
Actions (login required)
View Item |