IIUM Repository

Penyakit Kawasaki punca serangan jantung kepada kanak-kanak

Abu Bakar, Asrar (2024) Penyakit Kawasaki punca serangan jantung kepada kanak-kanak. Berita Harian.

[img] PDF - Published Version
Restricted to Repository staff only

Download (31MB) | Request a copy

Abstract

Penyakit Kawasaki di kalangan kanak-kanak Sekitar tahun 1960-an, seorang doktor pakar kanak-kanak di Jepun kehairanan melihat beberapa kes kanak-kanak bawah umur 5 tahun datang dengan gejala demam berterusan, bengkak limpa di leher serta tanda-tanda keradangan seperti mata kemerahan, ruam kulit dan hujung jari-jemari bengkak dan merah. Perbincangan dengan kawan sekerja ketika itu merumuskan bahawa kanak-kanak ini menghidap sejenis jangkitan ‘atypical’ bakteria streptokokkal. Walaubagaimanapun, doktor tersebut tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut lalu beliau melabelkan fail kes-kes tersebut sebagai kes ‘hanya Tuhan yang tahu’. Bagaimanapun, selepas kajian lanjutan dibuat, doktor kanak-kanak tadi mendapati bahawa kanak-kanak yang terlibat bukan disebabkan jangkitan bakteria, sebaliknya penyakit radang salur darah. Beliau mengeluarkan satu laporan terperinci kes-kes yang terlibat yang beliau namakan sebagai ‘acute febrile mucocutaneous lymph node syndrome’. Nama doktor tersebut adalah Profesor Tomisaku Kawasaki dan pengamatan dan nukilan beliau terhadap ciri-ciri penyakit ini masih menjadi rujukan sehingga ke hari ini. Penyakit yang kini lebih dikenali sebagai penyakit Kawasaki, nama yang diberikan sempena nama professor tersebut, kini melibatkan sekitar 200-300 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak berumur bawah 5 tahun terutamanya di kalangan warga Asia termasuk di negara kita. Penyakit Kawasaki merupakan punca utama penyakit jantung (bukan ‘congenital’) di kalangan kanak-kanak di kalangan negara terbangun dan membangun. Penyakit ini berlaku disebabkan tindakbalas berlebihan badan sehingga berlaku serangan terhadap salur-salur darah dalam badan. Sehingga kini, punca penyakit ini masih belum diketahui tetapi beberapa teori dikemukakan antaranya pengaktifan tindakbalas imun badan yang berterusan walaupun selepas pulih daripada jangkitan virus atau bakteria. Antara gejala penyakit Kawasaki adalah demam tinggi berterusan sehingga melebihi 4 hari, radang kemerahan di bahagian mata, kulit, mulut dan lidah, jari jemari di tangan dan kaki serta bengkak limpa terutamanya di bahagian leher. Bagi kanak-kanak yang telah menerima suntikan BCG, lokasi suntikan tersebut akan menjadi bengkak dan kemerahan. Ujian darah akan menunjukkan paras keradangan yang amat tinggi. Namun, tidak semua pesakit Kawasaki akan mempunyai semua ciri dan gejala ini seterusnya menyukarkan deteksi awal penyakit ini. Masalah utama diagnosis penyakit ini ialah tiadanya ujian khusus yang boleh dilakukan serta pertindihan gejala penyakit ini dengan penyakit lain seperti jangkitan streptokokkal dan virus seperti adenovirus. Disebabkan masalah ini, berlaku kelewatan diagnosis penyakit Kawasaki seterusnya melambatkan pemberian rawatan penyakit ini. Kepekaan ibu bapa dengan gejala-gejala penyakit Kawasaki serta deteksi awal dari para doktor penting untuk mengurangkan komplikasi penyakit Kawasaki. Komplikasi utama penyakit Kawasaki seperti yang disebutkan tadi adalah keradangan salur darah koronari jantung. Sekitar 25% kanak-kanak yang menghidap penyakit ini akan mengalami komplikasi jantung sekiranya tidak dirawat. Komplikasi jantung ini kebiasaannya tidak akan menyebabkan sebarang gejala awal tetapi penghidap akan berisiko terkena serangan jantung akut yang boleh meragut nyawa apabila mereka capai umur dewasa. Walaubagaimanapun sekiranya rawatan awal diberikan di waktu umur kanak-kanak, jangkaan berlakunya komplikasi menurun sekitar 3% hingga 5%. Rawatan utama penyakit Kawasaki adalah dengan pemberian antibodi ‘intravenous immunoglobulin’ atau singkatannya IVIG serta ubat aspirin dan steroid. Kajian masih dijalankan untuk menentukan rawatan kombinasi terbaik termasuklah di kalangan ubat-ubat supres imun badan yang lain. Rawatan perlu disusuli dengan deteksi sebarang komplikasi jantung melalui kaedah scan ultrasound jantung (echocardiogram) secara berkala. Sekiranya berlaku komplikasi jantung, rawatan susulan daripada pakar jantung dan pakar penyakit berjangkit perlu dilakukan. Yang penting, setiap kanak kanak yang mempunyai gejala Kawasaki perlu diberikan perhatian dan tindakan awal ibu bapa untuk dapatkan rawatan. Ini kerana deteksi awal akan diikuti rawatan awal dan seterusnya mengelak daripada kesan komplikasi jantung yang berpanjangan.

Item Type: Article (Newspaper)
Uncontrolled Keywords: Kawasaki disease
Subjects: R Medicine > RJ Pediatrics
R Medicine > RJ Pediatrics > RJ370 Disease of children
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): Kulliyyah of Medicine > Department of Paediatrics
Kulliyyah of Medicine
Depositing User: Dr Asrar Abu Bakar
Date Deposited: 22 Jan 2024 16:35
Last Modified: 22 Jan 2024 16:35
URI: http://irep.iium.edu.my/id/eprint/110468

Actions (login required)

View Item View Item

Downloads

Downloads per month over past year