IIUM Repository

Risiko bayi dijangkiti batuk kokol

Abu Bakar, Asrar (2023) Risiko bayi dijangkiti batuk kokol. Berita Harian, Zon (4hb November 2023). p. 31.

[img] PDF - Published Version
Restricted to Registered users only

Download (497kB) | Request a copy

Abstract

Ke arah pembasmian Batuk Kokol - cabaran dan peluang Baru-baru ini kita dikejutkan dengan peningkatan kes melibatkan bayi di seluruh negara menghidap penyakit batuk kokol atau ‘Pertussis’ yang serius sehingga memerlukan rawatan di ICU. Adakah ini kebetulan atau ada kemungkinan berlaku satu wabak di kalangan komuniti luar sana? Sudah pasti trend sebegini merisaukan. Penyakit batuk kokol berpunca daripada sejenis kuman bakteria yang dipanggil Bordetella pertusis. Menarik bakteria ini adalah keupayaan untuk ‘menyeludup’ masuk ke dalam tubuh manusia dalam keadaan yang tidak aktif atau ‘dormant’ sehinggalah sampai ke satu tahap ia mula menyerang anggota badan terutamanya anggota peparu. Bakteria ini juga berupaya menghasilkan toxin yang boleh meneutralkan kemampuan imuniti badan menentang bakteria ini. Sekiranya bakteria dan penghasilan toxin ini terus merebak, gejala awal seperti selsema dan batuk ringan akan bertambah teruk menyebabkan masalah batuk perpanjangan sehingga menjejaskan paras oksigen dalam badan. Penyakit ini sangat mudah berjangkit termasuklah daripada kalangan individu yang boleh dikatakan tiada gejala atau bergejala ringan. Tempoh jangkitan agak lama iaitu sekitar 5 minggu seterusnya menyukarkan usaha mengekang sebaran jangkitan ini. Di dalam satu isi rumah, keupayaan bakteria ini untuk merebak boleh mencecah sehingga 90% ahli anggota biarpun hanya dengan gejala ringan. Maka tidak pelik, apabila berlaku peningkatan kes-kes batuk kokol ianya pasti hasil penyebaran individu-individu berjangkit secara tidak sedar. Wujudkah vaksin? Sekian lama kita dituahkan dengan penemuan vaksin terhadap batuk kokol yang digunapakai semenjak 1970-an. Vaksin awal batuk kokol dihasilkan daripada bakteria penuh (whole) yang telah dilemahkan tetapi cukup untuk menghasilkan tindak balas antibodi. Namun, kesan sampingan terhadap vaksin penuh agak ketara iaitu demam teruk dan sakit di tempat suntikan. Maka vaksin batuk kokol baru (acellular) dihasilkan menggunakan antigen bakteria yang mampu memberikan perlindungan baik tetapi dengan kesan sampingan yang lebih ringan. Kini vaksin acellular pertussis menjadi salah satu komponen di dalam vaksin campuran 6 dalam 1 yang diberikan kepada bayi seawal umur 2 bulan sepertimana yang disarankan World Health Organization (WHO) dan kerajaan Malaysia. Walau bagaimanapun, vaksin tersebut tidak dapat berfungsi baik sekiranya diberikan sebelum umur 2 bulan dan mengambil masa 4-6 minggu selepas suntikan untuk mencapai paras antibodi yang memuaskan. Oleh demikian, bayi berumur kurang 3 bulan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit batuk kokol serta komplikasi penyakit ini berbanding kanak-kanak yang telah menerima suntikan dan orang dewasa yang hanya bergejala ringan. Mengapa kes pertussis meningkat walaupun ada vaksin? Peningkatan kes batul kokol merupakan masalah kesihatan sejagat yang kini mendapat lebih perhatian dan penyelidikan. Beberapa teori dikemukakan antaranya kegagalan vaksin sedia ada memberikan perlindungan seumur hidup, bakteria yang semakin kebal serta penurunan kadar vaksinisasi di kalangan kanak-kanak. Secara amnya, kesemua faktor ini menjadi penyumbang kepada kenaikan kes batuk kokol. Di Malaysia khususnya, peningkatan kes batuk kokol beberapa tahun kebelakangan ini tidak begitu mengejutkan kerana paras penerimaan vaksin di kalangan bayi yang menurun. Masalah penolakan vaksin daripada ibu bapa merupakan trend yang merisaukan. Kebanyakan ibu bapa bukan menolak sepenuhnya vaksin tetapi mereka mempunyai kerisauan tersendiri terhadap kesan sampingan vaksin seperti asbab kepada alahan dan risiko terkena penyakit lain. Walaupun setiap ubat itu akan ada kesan sampingan tertentu, ibu bapa perlu diberitahu bahawa setiap vaksin yang digunapakai telah melalui satu proses kajian menyeluruh dan berpanjangan. Sekiranya ada kesan sampingan yang serius ketika fasa penyelidikan ataupun pasaran, sudah pastu penggunaan ubat atau vaksin tersebut akan ditarik balik. Ini lah yang berlaku kepada evolusi vaksin batuk kokol itu sendiri sehingga terhasilnya satu vaksin yang lebih baik dan kurang kesan sampingan. Peluang dan strategi terkini Ibu bapa perlu didedahkan dengan peribahaya penyakit-penyakit berjangkit termasuk penyakit batuk kokol. Ianya boleh mengundang maut dan komplikasi berpanjangan jauh lebih teruk daripada kesan sampingan vaksin yang kebiasaanya ringan dan tidak berterusan. Selain usaha menyedarkan masyarakat, ia perlu disertakan dengan strategi kesihatan awam yang menyeluruh dan berkesan bersandarkan kajian dan bukti terkini. Kini, kita berpeluang untuk memastikan pendedahan terhadap penyakit batuk kokol ini dikawal lebih rapi setelah kajian pemberian vaksin campuran yang dipanggil Tdap (Tetanus, diphtheria dan acellular pertussis vaccine) kepada wanita yang hamil menunjukkan perlindungan yang baik kepada bayi kandungan melalui pemindahan antibodi yang dihasilkan ibu. Kajian menunjukkan vaksin ini selamat diberikan kepada kaum ibu yang hamil tanpa sebarang kesan sampingan yang serius. Risiko kematian bayi daripada penyakit batuk kokol dapat dikurangkan sehingga 95% dan perlindungan tertinggi berlaku sekiranya vaksin diberikan pada awal trimester ketiga kehamilan iaitu sekitar 27 hingga 36 minggu. Oleh itu, WHO menyarankan agar program imunisasi di peringkat kebangsaan perlu dimasukkan vaksin Tdap ini seterusnya menggantikan vaksin ATT (anti-tetanus) yang digunapakai kini. Kita menerima dengan hati yang terbuka saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia agar vaksin Tdap dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan. Inilah peluang keemasan bagi mengurangkan kes-kes batuk kokol di kalangan bayi yang merupakan golongan paling berisiko. Diharapkan agar kempen kesedaran pemberian vaksin Tdap di kalangan ibu hamil ini dapat dilancarkan agar tidak berlaku keciciran dan salah maklumat seterusnya memberikan kita prospek yang baik ke arah pembasmian penuh batul kokol satu hari nanti.

Item Type: Article (Newspaper)
Uncontrolled Keywords: Pertussis, batuk kokol, bayi
Subjects: R Medicine > RJ Pediatrics > RJ101 Child Heatlh. Child health services. Preventive health services for children
R Medicine > RJ Pediatrics > RJ240 Immunization of children (General)
R Medicine > RJ Pediatrics > RJ370 Disease of children
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): Kulliyyah of Medicine
Kulliyyah of Medicine > Department of Paediatrics
Depositing User: Dr Asrar Abu Bakar
Date Deposited: 17 Nov 2023 14:58
Last Modified: 15 Feb 2024 16:30
URI: http://irep.iium.edu.my/id/eprint/108201

Actions (login required)

View Item View Item

Downloads

Downloads per month over past year