IIUM Repository

RMK12 ikut acuan Ekonomi MADANI perkukuh agenda pembangunan

Jamaiudin, Norhaslinda (2023) RMK12 ikut acuan Ekonomi MADANI perkukuh agenda pembangunan. Berita Harian, Rencana (18hb Oktober 2023). p. 12.

[img] PDF - Published Version
Restricted to Registered users only

Download (510kB) | Request a copy

Abstract

Ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim menjejaskan banyak negara, termasuk Malaysia. Gangguan rantaian bekalan makanan, kenaikan harga komoditi dan kadar inflasi global meningkatkan kebimbangan terhadap keterjaminan makanan. Pada masa sama, kenaikan kos sara hidup terus memberi tekanan kepada orang awam dan membebankan ramai pihak. Jurang ekonomi semakin melebar dan ketidaksamaan pendapatan antara isi rumah kian melebar ini makin membimbangkan. Dalam mendepani cabaran semasa, Kerajaan Perpaduan mengambil langkah proaktif melalui Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan mengumumkan inisiatif pelan pembangunan lebih bersasar. Kajian ini adalah sebahagian daripada hala tuju strategik terkandung dalam rancangan pembangunan lima tahun mulai 2021 hingga 2025, dengan objektif utama untuk menjadikan Malaysia negara makmur, inklusif dan mampan. RMK12 menggariskan tiga perkara utama iaitu menjana semula ekonomi, memperkukuh keselamatan dan membangunkan Malaysia ke arah masyarakat adil, inklusif dan sejahtera. Ekonomi Malaysia dalam dua tahun pertama RMK12 berkembang secara sederhana dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan bertambah baik sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini. Prospek ekonomi lebih positif direkodkan dengan penurunan kadar pengangguran pada 2023. Bagi mencorak masa depan yang lebih baik, fasa kedua RMK12 diperhalusi melalui penilaian intensif bagi menilai kemajuan dan jurang pelaksanaan dasar dalam tempoh dua tahun pertama iaitu 2021 dan 2022, dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM415 bilion. Sebanyak 17 anjakan radikal dan 71 inisatif utama diperkenalkan bagi memperkukuhkan pembangunan negara dalam konteks Malaysia MADANI. Secara umum, KSP memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu membina ekonomi berdaya tahan, memperkasa masyarakat melalui pelbagai platform komuniti dan membangunkan tadbir urus lebih baik dan inklusif. Perjalanan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi akan menjadi kenyataan melalui pembangunan modal insan. Ini termasuk menstruktur semula bakat untuk mengurangkan ketidakpadanan kemahiran, meningkatkan bakat kemahiran, memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan memperbaiki jurang pendapatan melalui penambahbaikan laras gaji. Pengurangan jurang pendapatan Bagi mencapai tujuan ini, kerajaan meletakkan sasaran pengurangan jurang pendapatan, terutama antara kawasan luar bandar dan bandar dalam masa tiga tahun akan datang. Sejumlah RM1.5 bilion akan disalurkan melalui projek penjanaan pendapatan kemiskinan tegar dan untuk mencapai ekonomi adil serta hijau, Kerajaan Perpaduan mengambil langkah berani dengan menyasarkan sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050 selain mengkaji semula undang-undang berkaitan dengan pencemaran air serta industri perkhidmatan air. Kerajaan turut komited menambah baik persekitaran perniagaan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan. Pembangunan ekonomi serantau juga diketengahkan melalui projek industri pintar, tenaga boleh diperbaharui dan banyak lagi. Pendekatan lebih inklusif dicadangkan seperti subsidi bersasar, pendidikan digital, menaik taraf 1,200 klinik usang, penubuhan Institut Kesihatan Mental, projek perumahan MADANI di bandar utama, pemerkasaan wanita melalui program kembali bekerja diperkukuhkan. Ini akan dilaksanakan melalui penyediaan kemudahan dan sokongan diperlukan seperti penjagaan kanak-kanak. Hasil daripada inisiatif ini dilihat mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi lebih baik, membentuk masyarakat mampan, progresif dan makmur. Objektif keseluruhan KSP adalah untuk mengenal pasti jurang dasar, menilai keupayaan semasa dan merangka semula strategi bagi menjayakan RMK12 pada fasa kedua. Dalam hal ini, Kerajaan Perpaduan bertekad merealisasikan matlamat dasar pembangunan melalui penilaian lebih intensif. Ini dilihat sebagai penanda aras bagi mengukur prestasi Kerajaan Perpaduan. Walaupun 17 anjakan radikal ini dilihat mampu mengisi jurang dan kelemahan dasar pembangunan, pelaksanaannya agak mencabar. Harus difahami, anjakan radikal ini memerlukan corak fikir dan kerja lebih mantap. Oleh itu, dalam konteks Malaysia MADANI, pendekatan lebih telus dan holistik perlu diketengahkan bagi menjayakan pelaksanaan RMK12. Di sini, ada tiga prasyarat utama perlu dipenuhi iaitu kemampanan fiskal, keupayaan dan kesediaan birokrat, kefahaman dan sokongan rakyat. Perubahan digariskan dalam KSP memerlukan penggunaan sumber ekonomi dan politik optimum. Ketersediaan Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi cabaran pelaksanaan adalah penting bagi merealisasikan agenda pembangunan dalam konteks Malaysia MADANI. Namun harus diingat, kedudukan kewangan yang terhad, mampu menjadi cabaran utama dalam mengekalkan keupayaan kerajaan bagi merencana keutamaan baharu dalam agenda pembangunan. Peningkatan siling perbelanjaan sudah tentu memerlukan dana tambah dari pelbagai sumber. Langkah tingkatkan pendapatan Kerajaan boleh mengambil langkah meningkatkan pendapatan melalui peningkatan cukai, memperkenalkan cukai baharu atau pinjaman. Peningkatan cukai bukan pilihan bijak kerana ia akan membebankan rakyat dan pilihan pinjaman dilihat akan mempengaruhi usaha kerajaan mengukuhkan keadaan fiskal serta pengurusan hutang. Prasyarat kedua ialah memastikan kapasiti, keupayaan dan kesediaan birokrat untuk menerima perubahan dalam hala tuju dasar. Anjakan utama digariskan dalam KSP perlu memanfaatkan kepakaran dan kemahiran birokrat, termasuk penyelarasan dasar yang baik antara agensi terbabit dan sistem pemantauan berkesan. Dedikasi dan sokongan penjawat awam juga adalah asas penting bagi mengekalkan usaha pelaksanaan dari semasa ke semasa. Pada masa sama sokongan daripada orang ramai adalah perlu. Inisiatif dan strategi mendasari keperluan rakyat harus didedahkan kepada orang ramai dan ini memerlukan komunikasi berkesan bagi memantapkan lagi sokongan rakyat. Orang ramai dan rakyat perlu melihat agenda pembangunan MADANI ini sebagai wajar dan bermanfaat. Maka, penjajaran semula strategi RMK12 berasaskan Ekonomi MADANI mampu memperkukuhkan pembangunan ekonomi bagi kesejahteraan rakyat. Menerusi pelaksanaan strategi lebih bersasar, pelan pembangunan MADANI ini dilihat mampu memakmurkan ekonomi dan memperkasakan rakyat. Perubahan signifikan diperlukan untuk mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Item Type: Article (Newspaper)
Additional Information: 5106/107627
Uncontrolled Keywords: Ekonomi Madani, Kajian Separuh Penggal, RMK12
Subjects: H Social Sciences > H Social Sciences (General)
H Social Sciences > H Social Sciences (General) > H96 Public policy (General), Policy sciences
Kulliyyahs/Centres/Divisions/Institutes (Can select more than one option. Press CONTROL button): Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences
Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences > Department of Political Science
Depositing User: Dr. Norhaslinda Jamaiudin
Date Deposited: 24 Oct 2023 12:23
Last Modified: 19 Dec 2023 10:31
URI: http://irep.iium.edu.my/id/eprint/107627

Actions (login required)

View Item View Item

Downloads

Downloads per month over past year