ARKIB : 16/11/2012
Akidah Islam bukan ideologi ciptaan manusia
ISLAM adalah agama yang diwahyukan oleh Allah kepada manusia. Setiap perkara berkaitan akidah, syariah dan akhlak adalah berdasarkan kepada panduan Ilahi dan Rasulullah SAW. Setiap ayat al-Quran yang diwahyukan oleh Allah sepatutnya dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pandangan dan fatwa.
Kejahilan terhadap disiplin penafsiran ayat-ayat al-Quran merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan umat Islam sering tersasul dan membuat kesilapan dalam menghuraikan intisari pengajaran al-Quran.
Umat Islam diajar supaya bertawaddu' dalam aspek berkaitan ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan dengan ilmu wahyu. Salah tafsir terhadap ayat-ayat al-Quran dan syariah Islam semakin hari kian dipaparkan oleh umat Islam sendiri sehingga perkara berkaitan fundamental ajaran Islam juga ditafsirkan mengikut logik akal dan ideologi perjuangan politik.
Umat Islam yang berfikiran liberal cuba menafsirkan ayat-ayat al-Quran seperti mana penganut agama lain mereformasikan agama mereka. Mereka tidak memahami ilmu wahyu tidak boleh disamakan dengan ideologi yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan peredaran zaman. Sikap liberal begini boleh menyebabkan keaslian ajaran Islam tergugat seperti mana berlaku kepada agama Samawi yang lain (agama yang menerima wahyu daripada Allah sebelum Islam di mana intisari ajaran kitab suci dipinda dan diubahsuai mengikut keadaan masa dan zaman).
Golongan fanatik Islam pula menafsirkan ayat-ayat al-Quran dalam konteks pemikiran mereka yang jumud dan radikal sehingga ke tahap mengagungkan ketua kumpulan sebagai wali atau Imam Mahdi. Corak pemikiran begini boleh menggambarkan Islam sebagai agama yang pasif dan ganas.
Sebab dan musabab penurunan ayat-ayat al-Quran perlu difahami secara menyeluruh kerana setiap penurunan wahyu Ilahi itu mempunyai kaitan dengan konteks dan peristiwa yang berlaku ketika itu. Umat Islam yang tidak memahami disiplin penafsiran al-Quran sepatutnya merujuk kepada ahli ilmu yang arif dalam bidang itu supaya kenyataan dan pandangan yang mereka tidak menimbulkan keadaan kemelut di kalangan masyarakat.
Perkara berkaitan ilmu pengetahuan terutamanya ilmu wahyu amat memerlukan kepada proses pembelajaran yang khusus bukan seperti membaca dan menganalisis ideologi ciptaan manusia yang boleh dibahaskan secara bebas mengikut pemahaman masing-masing. Ayat-ayat al-Quran sering dipergunakan oleh kebanyakan ahli politik bagi menyakinkan masyarakat bahawa perjuangan mereka adalah selaras dengan ajaran al-Quran.
Jika prinsip dan objektif perjuangan politik hanya berdasarkan kepada 'perjuangan untuk mendapat kemenangan dan memperolehi kuasa memerintah negara' tanpa menghiraukan kesan negatif terhadap agama, bangsa dan negara, maka ahli-ahli politik beragama Islam akan menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan pelbagai penafsiran mengikut keadaan dan suasana pergolakan parti politik mereka.
Perkara berkaitan akidah adalah ditetapkan oleh Allah. Manusia tidak mempunyai hak meminda hukum hakam tersebut. Ayat al-Quran dalam Surah 2 (al-Baqarah) : 256, yang bermaksud, " Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu sesiapa yang ingkar kepada Thagut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada genggaman tali yang kuat yang tidak akan putus. Dia Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
Ayat al-Quran tersebut mempunyai kaitan dengan peristiwa di mana orang Ansar yang beragama Islam memaksa anak-anak mereka yang dipelihara oleh orang Kristian dan Yahudi memeluk agama Islam. Jalaluddin Abd. Rahman Abi Bakr al-Suyuti, dalam bukunya bertajuk al-Dhur al-Manthur fi Tafsir al-Ma'thur menjelaskan ketika zaman sebelum Islam orang-orang Musyrik Madinah amat tertarik dengan personaliti masyarakat Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi). Sebahagian daripada wanita Ansar ketika mengandung, bersumpah untuk menyerahkan anak mereka kepada Ahli Kitab jika anak yang dilahirkan itu hidup.
Al-Sha'bi menceritakan kisah wanita Ansar yang kecewa apabila anak mereka meninggal dunia selepas bersalin. Mereka bersumpah akan menyerahkan anak mereka kepada orang Kristian dan Yahudi serta menganut agama bapa angkat mereka jika anak yang dilahirkan itu hidup. Mereka berpendapat agama ahli kitab adalah lebih baik daripada agama mereka. Apabila Islam tersebar di Madinah, orang Musyrik Madinah memeluk agama Islam. Mereka memaksa anak-anak mereka yang beragama Kristian dan Yahudi memeluk agama Islam. Berdasarkan kepada peristiwa ini maka Allah mewahyukan surah 2 (al-Baqarah): 256 menegaskan bahawa tidak ada paksaan dalam agama. Selepas penurunan wahyu ini maka mereka tidak memaksa anak mereka memeluk agama Islam.
Berdasarkan kepada konteks ayat al-Quran tersebut maka jelas menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan memaksa orang bukan Islam menganut agama Islam. Orang bukan Islam yang baru memeluk agama Islam juga tidak dibenarkan memaksa anak-anak mereka menganut agama Islam jika mereka masih yakin dengan agama asal mereka.
Konsep kemanusiaan di dalam Islam adalah terlalu tinggi nilainya di mana hak dan kebebasan manusia dalam agama diperakui. Sedangkan golongan yang memperjuangkan ideologi mengetepikan hak bersuara dan beragama. Setiap individu yang tidak menganuti ideologi mereka akan ditindas dan disiksa. Rumah-rumah ibadah dimusnahkan dan para ulama dan ketua agama dibunuh seperti mana berlaku dalam negara yang mengamalkan ideologi komunis.
Kebebasan beragama yang dimaksud dalam al-Quran ini bukan bererti umat Islam bebas menganut agama lain. Umat Islam tidak dibenarkan memeluk agama lain kerana perbuatan demikian dianggap sebagai satu dosa yang besar.
Setiap ulama sama ada ahli fekah atau teologi berpendapat murtad merupakan kes yang paling serius berkaitan akidah. Perbezaan pendapat di kalangan mereka hanya berkaitan bentuk hukuman sama ada termasuk dalam hukuman had (hukuman tertentu yang ditentukan oleh Allah dalam al-Quran) atau ta'zir (hukuman yang ditentukan oleh negara Islam).
Setiap penganut agama beranggapan bahawa agama mereka adalah benar dan pertukaran agama merupakan satu perkara yang serius. Sejarah menunjukkan kebanyakan agama di dunia menghukum penganut agama mereka yang bertukar agama. Bentuk hukuman terhadap individu yang murtad juga berbeza di antara satu agama dengan agama lain.
Hak kebebasan beragama hanya disuarakan oleh agama tertentu dalam persekitaran abad ke-20 di mana dalam sejarah agama mereka penyiksaan terhadap individu yang menukar agama adalah terlalu berat. Urusan berkaitan akidah sesuatu agama adalah hak kepada penganut agama itu. Agama lain tidak mempunyai hak mencampuri urusan agama lain. Jika sesuatu agama memberi hak yang penuh kepada penganut agamanya bertukar kepada agama lain, maka umat Islam tidak dibenarkan masuk campur dalam urusan keagamaan itu kerana setiap agama mempunyai perbezaan kepercayaan, prinsip dan budaya.
Umat Islam sepatutnya memahami bahawa perkara berkaitan akidah bukanlah perkara yang boleh dikompromi dengan prinsip agama lain. Setiap perkara berkaitan akidah Islam adalah berdasarkan kepada konsep tauhid yang tulen dan sempurna. Ia merupakan satu konsep yang amat ketara perbezaannya dengan agama lain.
Bagi mencapai sebuah negara yang aman dan harmoni setiap penganut agama perlu menghormati prinsip ajaran agama lain. Hak kemanusiaan yang diperjuangkan oleh umat Islam sepatut perlu berlandaskan kepada etika Islam supaya tindak tanduk mereka tidak membangkitkan suasana yang kronik.
Setiap detik, setiap jam berharga untuk BN
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Patuhi resipi keramat UMNO bersungguh-sungguh
Isyarat UMNO sudah berubah
Teliti hala tuju, peranan Puteri
Formula Wanita UMNO berjaya sebagai nadi rakyat
Penting sokong Najib menang PRU
Obama 'tunjuk' cara menang PRU?
Mata dan telinga tertumpu pada perhimpunan UMNO di Dewan Merdeka
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Teraju mengubah pendekatan ekonomi bumiputera
Kertas putih air Selangor tanpa cadangan konkrit
Tampilkan UMNO pilihan utama orang Melayu
Doakan kebaikan, bukan kehancuran
Hadi hanya mahu jadi nelayan
Bisik-Bisik: Pengkhianatan...
Bisik-Bisik: Saman terpilih
Pembersihan etnik di Palestin
Hormati hak Malaysia negara merdeka
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||