ARKIB : 14/08/2008
Siar rancangan dialog antara agama di TV
FORUM yang dianjur oleh Majlis Peguam pada hari minggu perlu dilihat sebagai suatu cabaran ilmiah kepada umat Islam. Walaupun tindakan bantahan yang dilakukan oleh umat Islam pada hari tersebut berjaya menghalang forum itu daripada berlangsung, namun persoalannya, adakah tindakan itu dapat menyedarkan pihak penganjur daripada kejahilan mereka terhadap agama Islam.
Sekiranya virus kejahilan mereka ini tidak diubati dengan sewajarnya, impak negatif akan kembali kepada umat Islam yang disifatkan oleh mereka seperti anak manja yang emosional dan senantiasa mendapat perlindungan keistimewaan kerajaan.
Lebih buruk lagi, umat Islam di Malaysia juga akan dilabelkan sebagai golongan yang hanya tahu menggunakan unsur paksaan untuk menegakkan fahaman mereka.
Sebenarnya pendekatan yang paling berkesan untuk menangani konflik ini adalah dengan pemurnian ilmu pengetahuan kerana ilmu pengetahuan adalah penawar kepada segala punca penyakit fizikal dan mental.
Protes terhadap Islam berlaku berikutan salah faham mereka terhadap Islam kerana sikap jahil sesetengah umat Islam yang melanggar arahan agama dan memangsakan golongan bukan Islam seperti luahan hati beberapa orang yang terlibat dalam forum 'Memeluk Islam' tersebut.
Golongan bukan Islam sememangnya sukar untuk membezakan antara dasar agama dengan kesalahan individu yang jahil agama. Kesudahannya, Islam terus dipandang serong.
Sekiranya umat Islam di Malaysia berterusan menangani konflik agama yang timbul dengan cara yang agresif, ditakuti golongan bukan Islam akan beranggapan bahawa Islam adalah suatu agama yang tidak toleran dan hanya mampu ditegakkan dengan kuasa politik, undang-undang dan kekerasan.
Sedangkan Islam yang bertapak di tanah Arab dahulu diasaskan dengan ilmu pengetahuan dan penjelasan dalil yang kukuh dan jitu.
Al-Quran berjaya mengeluarkan masyarakat Arab jahiliah daripada kesesatan kepada kebenaran Islam dengan cahaya ilmu al-Quran yang boleh diterima akal yang waras.
Al-Quran banyak menyarankan manusia supaya berfikir dan meneliti fakta dalam mencari kebenaran. Penggunaan akal yang dianugerahkan oleh Allah akan terus menjana umat Islam yang bertamadun.
Dengan perkataan lain, Islam diasaskan dengan ilmu pengetahuan dan penjelasan fakta yang bernas, bukan dengan doktrin yang rapuh atau paksaan.
Oleh itu, cara terbaik untuk merawat konflik ini adalah dengan mengadakan forum atau dialog yang terkawal di antara pihak yang mempertikaikan Islam dengan para ilmuwan Islam.
Kalau perlu rancangan ini disiarkan secara langsung di televisyen Malaysia setiap minggu di waktu perdana untuk menarik jumlah penonton yang besar.
Pihak penganjur perlu menetapkan satu isu yang akan dibincang secara ilmiah menurut kaca mata Islam. Rancangan itu juga perlu dihadiri oleh wakil ilmuwan Islam dan bukan Islam.
Penyiaran dialog sedemikian bukan sahaja dapat menjadi platform rasmi kepada pihak bukan Islam dalam memahami agama Islam, tetapi juga medan penyebaran ilmu pengetahuan Islam kepada orang Islam sendiri.
Jikalau diperhatikan, kebanyakan rancangan agama di Malaysia lebih bersifat sehala dan umpama 'bersilat di gelanggang sendiri.' Belum tentu lagi para ilmuwan Islam yang ada di Malaysia sekarang akan menang jika bertarung di medan dakwah dengan seorang peguam bukan Islam. Inilah cabaran yang perlu difikirkan oleh umat Islam di Malaysia untuk era ini.
Yang pastinya, umat Islam di Malaysia perlu menyahut cabaran golongan bukan Islam yang mempertikaikan agama suci ini dengan lebih terhormat.
Jangan sampai umat Islam dikatakan hanya tahu berdemonstrasi di jalanan mempertahankan agama mereka. Apabila diajak berdialog atau berdebat, mereka akan terdiam seribu bahasa. Islam telah ditegakkan oleh Rasulullah SAW adalah dengan ilmu, debat dan penjelasan fakta yang kukuh bukan dengan demonstrasi jalanan, laungan slogan ataupun penguatkuasaan undang-undang semata-mata.
Umat Islam yang majoritinya menguasai kebanyakan media perdana di Malaysia perlu menggunakan peluang ini untuk memberi penjelasan serta gambaran sebenar mengenai Islam kepada bukan Islam.
Dengan hilangnya rasa curiga mereka terhadap agama Islam, masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama akan dapat hidup dengan lebih harmoni dan aman.
ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ,
Jabatan Tilawah al-Quran,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Cegah sebelum jadi negara koboi
Orang Melayu tidak lagi digeruni?
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Jihad melawan hawa nafsu yang paling utama
UMNO mesti terus bangkit
iM4U bergerak tanpa sempadan
Bermandi darah demi negara
Jangan layan penyebaran dakyah komunis melalui filem
Ramadan bulan mengukuhkan jemaah, ukhuwah
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Pendirian ulama Islam tentang Syiah
Ikat jamin: Kenapa mahkamah berbeza pendapat?
Peringatan bahayanya mercun buatan sendiri
Huru-hara tanpa Akta Hasutan?
Percanggahan Syiah - ajaran Islam
Bezanya sesak Ramadan di Kuala Lumpur, Mekah dan Kaherah
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Kenapa biar masjid jadi medan perpecahan?
Tuduhan untuk menghakis jasa UMNO
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||