Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKaum Jakun merupakan satu daripada kumpulan Orang Asli Melayu yang mendiami bahagian selatan Semenanjung Malaysia. Sa’at dan Zakaria (2013) menyatakan bahawa masyarakat Jakun berasal dari wilayah Yunan di selatan China dan berhijrah kira-kira 5,000 tahun lalu. Kedudukan mereka yang berhampiran sungai menjadikan mereka dikenali sebagai Batang Air (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, 2009).
Walaupun terdapat segelintir yang menganut agama seperti Islam, Buddha, dan Kristian, kepercayaan animisme kekal dominan kerana kehidupan mereka dipengaruhi oleh unsur alam semula jadi seperti sungai, hutan, gunung, dan bukit-bukau.
Suku kaum Jakun dipimpin oleh seorang ketua yang dikenali sebagai Tok Batin yang memegang kuasa penuh dalam urusan pentadbiran kampung, perkahwinan, serta adat resam. Budaya yang diamalkan oleh mereka melambangkan identiti dan jati diri masyarakat.
Adat serta pantang larang memainkan peranan penting dalam membentuk kesantunan kehidupan (Abdul Rahman,2001).Pantang larang dalam konteks ini bermaksud larangan atau sekatan terhadap perbuatan tertentu kerana dipercayai membawa kesan buruk (Abdul Aziz, 2008).
Perkara tersebut berfungsi sebagai mekanisme kawalan sosial bagi mengelakkan tingkah laku tidak wajar. Oleh itu, pantang larang bukan sekadar amalan tradisi, malah menjadi norma sosial yang diwarisi secara turun-temurun.
Arus pemodenan dan globalisasi menjadi cabaran utama terhadap kelestarian adat dan pantang larang masyarakat Orang Asli. Hasamim (2013) menegaskan bahawa pengaruh budaya Barat melalui media massa menyebabkan golongan muda lebih cenderung mengamalkan gaya hidup moden yang dianggap lebih bebas.
Keadaan ini mengakibatkan pengabaian terhadap budaya asli. Sebagai contoh, pengaruh budaya Melayu dan Barat jelas kelihatan dalam adat perkahwinan masyarakat Jakun, seperti kewujudan pengiring pengantin perempuan yang menyerupai amalan perkahwinan Barat.
Kajian terhadap adat dan pantang larang masyarakat Jakun masih terhad. Kekurangan kajian komprehensif terhadap kaum Jakun menyebabkan warisan budaya ini berisiko pupus sekiranya tiada dokumentasi sistematik dilakukan.
Sebagai contoh, Abdul Rahman, N. (2001) mengkaji adat dan pantang larang masyarakat Orang Asli Semai, manakala Nur Amira Syakilla Shahrom (2022) meneliti pantang larang kematian dalam kalangan suku Seletar.
Kajian ini menggunakan kaedah temu bual yang melibatkan tiga orang informan dari Kampung Orang Asli Bukit Panjang, Muar, Johor. Data yang diperoleh meliputi dua adat utama, iaitu adat merisik dan perkahwinan, serta lapan kategori pantang larang, iaitu kehamilan, kelahiran, kematian, pertunangan, perubatan tradisional, perkahwinan, pertanian, dan aktiviti memasuki hutan.
Adat merisik dalam kalangan masyarakat Jakun berbeza dengan adat Melayu kerana dilakukan selepas upacara bersanding. Hal tersebut melibatkan pemberian pisau dan lembing sebagai simbol ikatan kekeluargaan (Sa’at & Zakaria, 2013).
Dalam adat perkahwinan pula, pemberian senjata ini menandakan tanggungjawab berat yang harus dipikul oleh pasangan. Selain itu, upacara menyuap buah pinang dan sirih membawa makna simbolik, iaitu kesediaan untuk menghadapi pahit manis dalam perkahwinan.
Shaqinur Ain Mohidin &, Mohamad Suhaizi Suhaimi (2022) turut menyatakan bahawa sirih mempunyai manfaat kesihatan seperti mencegah penyakit jantung koronari.
Pantang larang yang diamalkan oleh kaum Jakun bersifat menyeluruh dan berkait rapat dengan kepercayaan animisme. Kepercayaan ini tidak hanya bersifat spiritual, tetapi juga mempengaruhi cara hidup dan amalan harian mereka, termasuklah aspek kesihatan, sosial, dan adat resam.
Salah satu pantang larang yang signifikan ialah berkaitan dengan wanita mengandung. Wanita hamil dilarang memakan makanan laut seperti sotong dan ikan pari kerana dikhuatiri menyebabkan keguguran. Selain itu, larangan memakan buah nenas juga diamalkan, sejajar dengan kepercayaan masyarakat Melayu yang mengaitkan buah tersebut dengan risiko keguguran.
Amalan ini mencerminkan kebimbangan terhadap keselamatan janin, walaupun penjelasan saintifik terhadap larangan ini mungkin berbeza. Pantang larang juga ditekankan selepas proses kelahiran. Wanita yang bersalin diwajibkan menjalani rawatan tradisional seperti bertungku dengan kain panas untuk memulihkan rahim.
Pada masa yang sama, mereka dilarang keluar rumah bagi mengelakkan penyakit yang dipercayai mudah menjangkiti tubuh dalam keadaan lemah. Amalan ini mempunyai persamaan dengan tradisi berpantang dalam masyarakat Melayu, yang menekankan pemulihan fizikal dan keseimbangan dalaman selepas bersalin.
Dalam konteks kematian, masyarakat Jakun menetapkan larangan keluar rumah selama seminggu bagi ahli keluarga si mati, khususnya balu. Mereka juga dilarang berhias sepanjang tempoh berkabung, sejajar dengan prinsip yang diamalkan dalam Islam (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2022). Larangan ini menggambarkan rasa hormat terhadap roh si mati serta memberi ruang untuk proses berkabung secara tenang.
Selain itu, pantang larang dalam adat pertunangan juga ditekankan, seperti larangan pergi ke laut atau hutan. Perbuatan ini dipercayai membawa malang dan boleh menggagalkan ikatan yang baru dibina.
Dari sudut perubatan tradisional, larangan mengambil makanan pedas selepas menjalani rawatan turut ditekankan kerana dipercayai mengurangkan keberkesanan ubat. Menariknya, larangan ini selari dengan pandangan kesihatan moden yang mengaitkan pengambilan makanan pedas secara berlebihan dengan risiko gastritis (Rahimi et.al, 2003).
Dalam bidang pertanian, pantang larang seperti larangan mengganggu sempadan kebun atau mengambil hasil tanaman tanpa kebenaran pawang juga diamalkan. Kepercayaan ini dikaitkan dengan penyakit misteri sebagai hukuman spiritual kepada mereka yang melanggar peraturan. Dari perspektif sosial, amalan ini berfungsi sebagai mekanisme kawalan untuk memastikan keharmonian dan keadilan dalam kalangan komuniti.
Secara keseluruhannya, pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat Jakun bukan sekadar berasaskan kepercayaan animisme, tetapi turut berperanan sebagai panduan sosial dan kesihatan.
Walaupun sebahagian larangan tidak dapat disahkan secara saintifik, amalan ini masih mempunyai nilai dalam mengekalkan identiti budaya serta keharmonian hubungan antara manusia dan alam sekitar. Kajian terhadap pantang larang ini penting untuk memahami bagaimana budaya dan kepercayaan tradisional terus mempengaruhi kehidupan masyarakat pribumi dalam era moden.
Adat dan pantang larang masyarakat Jakun bukan sekadar tradisi, tetapi berperanan sebagai identiti budaya yang membentuk struktur sosial mereka. Walau bagaimanapun, pengaruh globalisasi dan budaya luar mengancam kelestarian amalan ini.
Oleh itu, dokumentasi sistematik melalui kajian akademik adalah penting bagi memastikan warisan budaya ini tidak pupus. Usaha bersepadu daripada pihak berautoriti dan pengkaji diperlukan agar adat dan pantang larang ini dapat dijadikan rujukan generasi akan datang serta dikekalkan sebagai khazanah ilmu yang bernilai.
____________________
Dr.Azean Idruwani Idrus merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh.