Skip to content
Homograf dalam Dialek Kelantan: Jangan Sampai Keliru!
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Homograf dalam Dialek Kelantan: Jangan Sampai Keliru!
Homograf dalam Dialek Kelantan: Jangan Sampai Keliru!
Bicara Bahasa

Homograf dalam Dialek Kelantan: Jangan Sampai Keliru!

  • Mohamad Suhaizi Suhaimi
  • 20 November 2025
  • DBP Wilayah Timur

Dialek Kelantan merupakan salah satu dialek bahasa Melayu yang kaya dengan variasi linguistik dan sarat dengan nilai budaya. Dialek ini bukan sahaja dituturkan oleh masyarakat Melayu di Kelantan, tetapi turut menjadi bahasa komunikasi seharian bagi masyarakat Cina, India, Siam dan etnik lain yang menetap di negeri tersebut. Keunikan dialek Kelantan dapat dilihat melalui fonologi yang berbeza, pemendekan suku kata, pengguguran konsonan serta kosa kata yang tidak wujud dalam bahasa Melayu standard. Keunikan ini menjadikan dialek Kelantan sebagai satu fenomena linguistik yang menarik untuk dikaji kerana menggambarkan kreativiti masyarakat setempat dalam menyesuaikan bahasa dengan keperluan komunikasi mereka.

Antara aspek linguistik yang paling menonjol dalam dialek Kelantan ialah kewujudan homograf, iaitu perkataan yang mempunyai bentuk ejaan sama dengan bahasa Melayu standard tetapi membawa makna yang berbeza. Fenomena ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan bukan penutur dialek, malah memperlihatkan betapa dinamiknya sistem makna dalam bahasa. Sebagai contoh, kata ‘rajin’ dalam bahasa Melayu standard bermaksud sifat seseorang yang suka bekerja dan tekun, namun dalam dialek Kelantan membawa makna ‘pernah’. Begitu juga dengan kata ‘borak’ yang dalam bahasa Melayu standard bermaksud berbual-bual, tetapi dalam dialek Kelantan ia merujuk kepada makna ‘merebak’. Hal ini menunjukkan bahawa homograf bukan sekadar fenomena kebetulan, tetapi terhasil daripada proses perubahan fonologi, pergeseran semantik dan pengaruh budaya yang berterusan dalam komuniti penutur.

Mengikut teori linguistik, homograf merupakan sebahagian daripada hubungan antara bentuk dan makna dalam sistem bahasa. Satu bentuk boleh merujuk kepada pelbagai makna, manakala satu makna boleh diungkapkan melalui pelbagai bentuk. Fenomena homograf bersama dengan homonim dan polisemi merupakan bukti bahawa bahasa sentiasa terbuka kepada pentafsiran berdasarkan konteks. Dalam bahasa Melayu, homograf dapat dilihat pada kata seperti ‘tahu’ yang bermaksud ‘mengetahui’ atau ‘tauhu’ sebagai makanan, atau kata ‘bisa’ yang bermakna ‘racun’ dan juga ‘boleh’. Namun, dalam dialek Kelantan, perbezaannya lebih ketara kerana homograf muncul akibat perbezaan budaya dan fonologi yang jelas.

Kewujudan homograf dalam dialek Kelantan dapat dijelaskan melalui beberapa faktor linguistik. Pertama, perubahan fonologi yang berlaku dalam dialek Kelantan menyebabkan berlakunya pengguguran huruf tertentu. Sebagai contoh, kata ‘tahun’ dalam bahasa Melayu standard disebut sebagai ‘taun’ dalam dialek Kelantan. Perubahan ini bukan sahaja melibatkan sebutan, malah turut mempengaruhi pemahaman makna kerana perkataan ‘taun’ dalam bahasa Melayu standard sebenarnya merujuk kepada sejenis penyakit. Kedua, pergeseran semantik turut memainkan peranan. Sesetengah perkataan mengalami peluasan atau penyempitan makna bergantung kepada pengalaman budaya masyarakat. Kata ‘cucur’ dalam dialek Kelantan misalnya, merujuk kepada baki wang, sedangkan dalam bahasa Melayu standard ia lebih sinonim dengan makanan bergoreng atau aliran air ke bawah. Faktor ketiga ialah dominasi makna setempat. Walaupun sesebuah perkataan mempunyai pelbagai makna dalam kamus, masyarakat hanya mengekalkan satu makna yang dianggap relevan. Kata ‘sisir’ contohnya, dalam bahasa Melayu standard lebih kerap difahami sebagai tangkai pisang, tetapi di Kelantan lebih difahami sebagai sikat rambut.

Homograf dalam dialek Kelantan boleh dilihat melalui beberapa contoh konkrit. Kata ‘gaduh’ dalam bahasa Melayu standard bermaksud bertengkar, namun dalam dialek Kelantan membawa maksud tergesa-gesa. Hal ini sering mengundang salah faham. Jika seorang penutur Kelantan berkata, “Demo gaduh nok gi mano?”, seorang bukan penutur mungkin memahami ayat itu sebagai “Awak bergaduh hendak pergi ke mana?”, sedangkan maksud sebenar ialah “Awak terburu-buru hendak pergi ke mana?”. Begitu juga dengan kata ‘akak’. Dalam bahasa Melayu standard, kata tersebut digunakan sebagai kata ganti nama bagi kakak, namun dalam dialek Kelantan ia bermaksud perbuatan mengangkat sesuatu. Proses pengguguran fonem /ng/ daripada kata ‘angkat’ menghasilkan bentuk ‘akak’, dan seterusnya membawa makna yang berbeza.

Contoh lain yang sering menimbulkan kekeliruan ialah kata ‘selalu’. Dalam bahasa Melayu standard, ia bermaksud kerap atau sentiasa. Namun, dalam dialek Kelantan, ‘selalu’ digunakan untuk membawa maksud ‘sekarang’. Fenomena ini menggambarkan makna sesuatu perkataan boleh berganjak jauh daripada maksud asal dalam bahasa standard. Perkara yang sama berlaku kepada kata ‘berahi’ yang dalam bahasa Melayu standard bermaksud rasa nafsu atau asmara, tetapi dalam dialek Kelantan membawa maksud suka. Contohnya, “Ambo berahi make nasi kabu ni” bermaksud “Saya sangat suka makan nasi kerabu ini”.

Kata ‘borak’ pula memperlihatkan satu bentuk pergeseran makna yang menarik. Dalam bahasa Melayu standard, ‘borak’ bermaksud berbual kosong atau bercakap santai. Namun dalam dialek Kelantan, ia membawa maksud merebak, khususnya dalam konteks penyakit. Misalnya ayat, “Jange dok biar deme tu, nati borak key payoh” bermaksud “Jangan biarkan demam itu, nanti merebak susah”. Pergeseran makna ini membuktikan bahawa setiap komuniti mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan kata mengikut keperluan komunikasi mereka.

Selain daripada contoh-contoh tersebut, terdapat juga kata ‘loghat’ yang dalam bahasa Melayu standard bermaksud dialek atau gaya percakapan, tetapi dalam dialek Kelantan ia merujuk kepada ‘tergesa-gesa’. Begitu juga dengan kata ‘rajin’ yang bermaksud tekun dalam bahasa standard, namun membawa maksud ‘pernah’ dalam dialek Kelantan. Contohnya soalan, “Mung rajin dok g mandi situ?” bermaksud “Kau pernah pergi mandi di situ?”. Kekeliruan yang timbul akibat perbezaan makna ini menunjukkan betapa pentingnya konteks dalam memahami komunikasi dialek.

Fenomena homograf dalam dialek Kelantan membawa implikasi yang luas terhadap komunikasi sosial. Dalam interaksi harian, penutur dialek Kelantan biasanya tidak menghadapi masalah kerana mereka berkongsi sistem makna yang sama. Namun apabila berkomunikasi dengan masyarakat luar, kekeliruan sering berlaku. Salah faham ini kadang kala membawa kepada situasi lucu, tetapi dalam konteks rasmi atau pendidikan, hal tersebut mampu menimbulkan salah tafsir yang serius. Misalnya, seorang pelajar dari luar Kelantan mungkin menganggap rakan sekelasnya sedang bercakap tentang kakak apabila mendengar perkataan ‘akak’, sedangkan maksud sebenar ialah mengangkat sesuatu.

Dari perspektif pendidikan, homograf menjadi cabaran utama bagi pelajar bukan penutur yang menuntut di institusi pengajian tinggi bersama-sama dengan rakan lain dari Kelantan. Kekeliruan makna boleh menjejaskan kefahaman dalam perbualan harian, malah mengganggu proses pembelajaran jika bahasa dialek digunakan secara meluas. Namun, fenomena ini juga boleh dilihat sebagai peluang untuk memperkaya pengalaman linguistik. Pelajar yang terdedah kepada variasi makna homograf berpeluang memahami dinamika bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Hal ini secara tidak langsung menyumbang kepada usaha melestarikan kepelbagaian dialek sebagai sebahagian daripada warisan budaya bangsa.

Dari segi linguistik pula, kewujudan homograf membuktikan bahawa bahasa bersifat dinamik dan sentiasa berubah mengikut konteks sosial. Makna sesuatu perkataan tidaklah statik, sebaliknya berkembang melalui interaksi masyarakat. Dialek Kelantan memperlihatkan kaedah satu bentuk perkataan boleh mengalami pergeseran makna yang besar tanpa menjejaskan kefahaman dalaman komuniti. Perkara ini selari dengan pandangan ahli semantik bahawa makna bahasa ialah produk sosial yang sentiasa dipengaruhi oleh budaya, pengalaman dan keperluan komunikasi.

Fenomena homograf juga perlu dilihat dalam konteks perbandingan dengan dialek lain di Malaysia. Dalam dialek Terengganu misalnya, terdapat perkataan yang dieja sama dengan bahasa Melayu standard tetapi membawa makna yang berbeza. Begitu juga dengan dialek Patani di Selatan Thailand yang mempunyai persamaan dengan dialek Kelantan. Perbandingan ini menunjukkan bahawa homograf bukanlah fenomena terpencil, tetapi merupakan ciri umum dalam kepelbagaian dialek Melayu. Walau bagaimanapun, dialek Kelantan menonjol kerana pergeseran maknanya lebih luas dan ketara berbanding dialek lain.

Dari sudut implikasi sosial, homograf dalam dialek Kelantan turut mempengaruhi pembentukan identiti penutur. Penggunaan kata-kata yang berbeza makna ini menjadi lambang kekitaan yang membezakan penutur Kelantan dengan masyarakat luar. Dalam konteks budaya popular, penggunaan homograf dialek Kelantan dalam media sosial, lagu atau drama turut memperkukuh identiti ini. Walaupun begitu, ia juga berpotensi menimbulkan stereotaip bahawa dialek Kelantan sukar difahami dan eksklusif. Oleh itu, kajian terhadap homograf bukan sahaja penting untuk memahami aspek linguistik, tetapi juga untuk meneliti hubungan antara bahasa, identiti dan persepsi sosial.

Oleh hal yang demikian, penelitian tentang homograf dalam dialek Kelantan perlu terus diperkembangkan. Kajian masa hadapan boleh memberi tumpuan kepada aspek pragmatik, iaitu kaedah homograf digunakan dalam wacana tertentu seperti perbualan harian, media sosial atau pengajaran. Selain itu, usaha membangunkan kamus dialek yang mengandungi penjelasan tentang homograf dapat membantu masyarakat luar memahami makna sebenar perkataan-perkataan tersebut. Melalui cara ini, bukan sahaja jurang komunikasi dapat dirapatkan, malah kepelbagaian dialek Melayu akan terus dihargai dan dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan.

Nota: Penulis merupakan pelajar dan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh.

# Dialek# Homograf# Kelantan
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (4) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (15) #karyasastera (17) #komsas (2) #penulis (6) #penulisbaharu (19) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (16) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (4) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) bengkel (2) budaya (2) cerpen (11) dbpcawangansabah (8) dbpcawangansarawak (22) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (10) puisi (27) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) Rasulullah (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (3) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP