28 April 2025, 17:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rencana ini membincangkan tafsiran tentang “kedudukan” Raja-raja Melayu dalam Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa:

“Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja”.

Cadangan untuk mengehadkan kuasa Yang di-Pertuan Agong memilih calon Perdana Menteri bagi penggal ketiga seperti yang diuar-uarkan baru-baru ini sebenarnya boleh disifatkan menyentuh kedudukan Raja-raja Melayu kerana Yang di-Pertuan Agong juga ialah seorang Raja Melayu dan mewakili Raja-raja Melayu.

Raja-raja Melayu sebagai kuasa berdaulat yang mendirikan Persekutuan pastilah bukan hanya simbolik dalam struktur pemerintahan Malaysia. Sebaliknya ”kedudukan” dalam Perkara 38(4) hendaklah dilihat dari sudut hierarki, tanggungjawab, kewajipan, peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu seperti yang ditakrifkan oleh adat Melayu, peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri masing-masing.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong ialah ketua tertinggi Persekutuan yang hendaklah diutamakan ke atas semua orang dan tidak boleh bertanggungjawab ke atas apa-apa prosiding di mana-mana mahkamah kecuali di Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV Perlembagaan. Selain itu, Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri dan negeri yang tidak mempunyai raja pemerintah.

Selain itu, dari aspek tanggungjawab, Yang di-Pertuan Agong terikat untuk menunaikan tugas dan kewajipan baginda selaras dengan Sumpah Yang di-Pertuan Agong menurut Jadual Keempat. Tugas Yang di-Pertuan Agong seperti yang ditetapkan dalam Sumpah tersebut, pertama; mengekalkan akidah Islam baginda, kedua; memelihara kesetiaan untuk melaksanakan pemerintahan yang adil mengikut Perlembagaan dan undang-undang, ketiga; memelihara agama Islam, keempat; menegakkan kedaulatan undang-undang dan kelima; memastikan keamanan dalam negara.

Dari aspek kewajipan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melaksanakan prerogatif diraja baginda apabila suatu keadaan itu timbul. Kedudukan sedemikian ialah manifestasi daripada kedaulatan dan prerogatif Raja-raja Melayu seperti yang dinyatakan Perkara 181(1).

Kedaulatan Raja-raja Melayu di sisi adat perlembagaan meletakkan mereka sebagai pemegang amanah kedaulatan Allah Yang Maha Berkuasa. Prerogatif diraja adalah kuasa berbaki dan budi bicara yang boleh dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong secara bersendirian atau setelah berunding dengan penasihat baginda seperti yang diperuntukkan Perlembagaan, atau apabila prerogatif itu tidak dihadkan oleh mana-mana peruntukannya secara nyata.

Pertama; kuasa berbaki untuk tidak memberikan persetujuan kepada rang undang-undang yang mengandungi peruntukan yang tidak berperlembagaan, kedua; kuasa berbaki untuk menolak nasihat eksekutif yang tidak berperlembagaan, ketiga; kuasa berbaki untuk memasyhurkan ordinan di bawah Perkara 150, keempat; kuasa berbaki untuk memberikan pengampunan, tunda dan lega hukum di bawah Perkara 42,  kelima; budi bicara untuk merujuk isu perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 130, keenam; budi bicara untuk mengisytiharkan darurat, ketujuh; budi bicara dalam persidangan Majlis Raja-raja di bawah Perkara 38, dan kelapan; budi bicara yang ditetapkan di bawah Perkara 40, 43, serta peruntukan undang-undang lain.

Prerogatif diraja untuk mengawasi tindakan badan perundangan, eksekutif dan kehakiman yang tidak berperlembagaan wujud kerana ketiga-tiga cabang kerajaan itu melaksanakan fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong yang tertakluk kepada sumpah di bawah Jadual Keempat.

Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan peranan baginda sebagai ketua tertinggi persekutuan termasuklah hal ehwal istiadat, peranan yang diberikan oleh Majlis Raja-Raja, dan peruntukan undang-undang lain. Baginda membuat lawatan rasmi negara dan menerima ketua negara asing di Malaysia.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong daripada aspek fungsi kuasa berdaulat di bawah Perlembagaan Persekutuan dicerminkan dalam tindakan perundangan, eksekutif dan kehakiman baginda seperti yang ditetapkan di dalamnya. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan fungsi kuasa perundangan dinyatakan dalam Perkara 66(1). Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai pihak berkuasa utama eksekutif persekutuan dinyatakan dalam Perkara 39. Manakala perwakilan fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong kepada badan kehakiman dinyatakan dalam Perkara 121.

Perkara 70 Perlembagaan juga menjamin kedudukan hierarki Raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu menikmati kedudukan tertinggi di negeri masing-masing dengan cara yang ditetapkan dalam peruntukan undang-undang tubuh kerajaan negeri. Perkara 71(1) mengukuhkan kedudukan perlembagaan Raja-raja Melayu di negeri masing-masing dengan jaminan Persekutuan terhadap hak raja sesuatu negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak dan keistimewaan di sisi perlembagaan bagi raja negeri itu mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri itu.

Di samping terdapat peruntukan asal dalam undang-undang tubuh kerajaan yang dikurniakan oleh Raja-raja Melayu setelah berunding dengan Majlis Negeri masing-masing melalui kuat kuasa Perjanjian Negeri bertarikh 21 Januari 1948, serta Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957; peruntukan berkaitan mekanisme pentadbiran negeri yang seragam diadakan melalui Jadual Kelapan Perlembagaan untuk dimasukkan dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri dan perlembagaan negeri. Perlembagaan negeri itu merujuk Pulau Pinang dan Melaka.

Jadual Kelapan menjelaskan kedudukan Raja-raja Melayu dari sudut pelaksanaan fungsi kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman selain yang dibutirkan dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan termasuklah Jadual Kesembilan. Bukan itu sahaja, kesemua peruntukan yang dibincangkan di sini bukan sahaja dilindungi oleh Perkara 38(4) bahkan Perkara 159(5) yang tidak membenarkan Perkara 38(4) dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Kesimpulannya, kedaulatan dan prerogatif Raja-raja Melayu yang termaktub dalam Perkara 181(1) menunjangi sistem persekutuan atau federalisme yang perlu dihormati oleh polisi persekutuan apabila menyentuh hak negeri. Jaminan kedudukan tersebut membuktikan bahawa Raja-raja Melayu tidak pernah terlucut kedaulatan meskipun berlaku campur tangan kuasa asing di Tanah Melayu. Kerajaan persekutuan perlu melihat bahawa bidang kuasa persekutuan yang termaktub dalam perlembagaan merupakan amanah yang diberikan oleh negeri untuk memelihara kepentingan bersama-sama dalam keluarga besar Malaysia yang berdaulat.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikrian Islam dan Tamadun UIAM/Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.