15 September 2023, 12:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pengiktirafan yang diterima oleh Taman Herba Nasuha.

Muar – Hasil perbincangan antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Pagoh dengan Nasuha Enterprise telah memberikan ruang baharu kepada industri herba di Malaysia apabila makmal alami bakal diwujudkan di Taman Herba Nasuha (THN).

Perbincangan yang berlangsung pada 14 September 2023 tersebut memperincikan peluang kerjasama melibatkan tenaga kerja manusia dalam kalangan pelajar UIAM Pagoh dengan Nasuha Enterprise. Tambahan pula, UIAM Pagoh menawarkan jurusan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab serta pelancongan yang berpaksikan bidang komunikasi sebagai pengajian teras bagi para pelajar di situ.

Menurut Encik Hariz Haikal selaku Pengurus Besar Taman Herba Nasuha, kerjasama yang terjalin ini merupakan peluang berharga dan memberikan impak besar yang tidak boleh disia-siakan.

Encik Hariz Haikal sedang memberikan penerangan tentang aktiviti yang bakal ditawarkan di THN.

Malaysia mempunyai pelbagai spesies herba yang bermanfaat tinggi bagi mengubati pelbagai penyakit selagi diambil mengikut sukatan yang tepat dan tidak secara berlebih-lebihan.

Makmal alami secara tidak langsung turut memberikan manfaat peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar serta para pelajar UIAM Pagoh dalam pelbagai bidang termasuklah menjalani latihan industri.

Aktiviti penyelidikan turut diberi penekanan yang tinggi terutamanya dalam bidang bahasa dan pelancongan, di samping mampu menjadi rujukan pengunjung dan pemain industri di luar sana. Antara cadangan yang diutarakan, termasuklah penghasilan modul kepimpinan dan pengucapan awam serta penerbitan bahan ilmiah yang menarik para pengunjung akan herba dan rempah ratus yang diusahakan di sini.

Hal ini juga termasuklah yang ditawarkan seperti perkhidmatan inap desa, pusat latihan kepimpinan atau organisasi, berkayak, mendaki bukit, meredah hutan dan menjelajah taman herba.

Taman Herba Nasuha menawarkan pengalaman menikmati hidangan makanan yang berkonsepkan alam semula jadi. Menu hidangan yang menjadi pilihan ramai ialah Nasi Beriani Herba Kambing dan Air Herba Garcinia.

Selain itu, Taman Herba Nasuha telah mendapat pengiktirafan sebagai Ladang Herba Terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan lebih daripada 3200 ekar.

Diharapkan agar inisiatif ini dapat membuka 1001 peluang keemasan kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung. Semua warganegara harus mengangkat herba tempatan pada peringkat yang lebih tinggi lagi, khususnya mengenai khasiat herba yang sudah pun diakui keberkesanannya oleh negara luar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.