23 Disember 2022, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muar – Program “Orang Asli di Persada Antarabangsa” buat julung-julung kalinya diadakan sebagai salah satu tugasan para pelajar jurusan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pagoh bagi subjek BMCO 2104 Perhubungan Antarabangsa. Program yang dianjurkan pada 22 Disember 2022 di Kampung Orang Asli Bukit Panjang, Bukit Kepong, Muar, Johor ini merupakan salah satu bentuk kolaborasi bagi subjek tersebut bersama-sama subjek SCSH 2163 Usrah in Action Seksyen 511 dan 513 (Tirkah Rimba & Play to Read Love to Read). Selain itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor turut bekerjasama dalam menjayakan program ini.

Para peserta bergambar bersama-sama masyarakat Orang Asli.

Terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Antaranya termasuklah Pameran Orang Asli di luar negara, pertandingan Sumpit dan Kercang, pertandingan mewarna dan banyak lagi. Yang menariknya, pameran Orang Asli di luar negara memaparkan pelbagai budaya dan warisan yang unik bagi suku Aborigin di Australia, Papua di Indonesia, Lumad, Igorot dan Mangyan di Filipina, Asaro di Papua New Guinea, Inuit dan Metis di Kanada serta suku Maori di New Zealand.

Objektif yang disasarkan sepanjang program ini adalah supaya para pelajar dan pengunjung dapat menghayati sejarah dan budaya Orang Asli di seluruh persada antarabangsa. Hal ini merupakan salah satu usaha untuk menjalinkan hubungan bersama-sama masyarakat terutamanya antara pelajar dengan Orang Asli. Pengalaman yang telah ditimba oleh para pelajar yang menyertai program ini merupakan suatu pendedahan yang amat besar pengertiannya bagi membentuk mereka menjadi individu yang dewasa dan matang dari segi pemikiran, penampilan dan keperibadian.

Poster program Orang Asli di Persada Antarabangsa.

Majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JAKOA Negeri Johor, Puan Nor Azlen Hashim dengan diiringi oleh Puan Noraini Ali, Pegawai JAKOA Daerah Tangkak/Muar, Dr. Mohamad Suhaizi Suhaimi, Penasihat Program dan Dr. Samshul Amry Abdul Latif, Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Penyelidikan Bertanggungjawab, UIAM Pagoh.

“Pameran yang dianjurkan ini membuka mata para pengunjung bahawa Orang Asli bukan sahaja berada di Malaysia, namun turut berkembang di luar negara dengan adat dan budaya masing-masing yang unik,” ujar Puan Nor Azlen Hashim semasa menyampaikan ucapan perasmian bagi program ini.

Para pelajar selaku komiti jawatankuasa turut menunjukkan komitmen yang padu dalam menjayakan program ini berikutan acara ini mampu mendedahkan kepada mereka tentang budaya Orang Asli yang perlu dimartabatkan agar tidak pupus ditelan arus zaman.

Acara tamat pada jam 12.30 tengah hari dengan penyampaian hadiah bagi pelbagai kategori yang dipertandingkan. Diharapkan agar usaha murni seperti ini dapat diteruskan di samping menjamin kemandirian warisan Orang Asli agar terus terpelihara bagi generasi akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!