Oleh: Siti Azizah Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Pengumpulan & Analisa Data dan Penulisan PTPM 2022; dan Pustakawan Kanan, Perpustakaan Dar Al-Hikmah, UIAM.
Perpustakaan sebagai agen perubahan, sekali lagi mengorak langkah pada tahun ini dengan penganjuran Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia (PTPM) 2022. Pandemik COVID-19 yang masih belum reda, tidak melunturkan semangat para pustakawan, kakitangan perpustakaan dan guru perpustakaan dan media tanah air untuk terus bersatu mengenengahkan keupayaan perpustakaan sebagai penyelesai masalah kepada isu sosial, masyarakat dan ekonomi melalui persidangan telah diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula 25 Mei sehingga 27 Mei 2022.
Persidangan ini telah berlangsung berlandaskan kepada tema utamanya iaitu, ‘Tiada Siapa yang Tertinggal: Perpustakaan Sebagai Agen Perubahan’. Lima sub tema turut menyusul bagi memeriahkan lagi sesi pembentangan dan perbincangan di dalam persidangan ini nanti.
Sub tema pertama, ‘Endemik dan Mengurus Trend’ di mana perpustakaan bukan sahaja mampu bertahan, malah menjadi pemimpin dalam bidang maklumat dengan menerima pakai dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dalam masa yang singkat. Selain daripada itu, perpustakaan turut bersedia dengan analisis tentang keadaan semasa dan mampu membuat jangkaan terhadap kebarangkalian yang akan berlaku pada masa hadapan.
Tidak dapat dinafikan, perpustakaan memainkan peranan yang tersendiri di dalam pembangunan komuniti merentasi generasi, jantina dan aktiviti. Ini menjadikan organisasi ini sebagai pusat pembelajaran kepada semua selaras dengan sub temanya yang kedua iaitu, ‘Perpustakaan Sebagai Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat’. Manakala sub tema ketiga pula, ‘Kesan Sosial dan Ekonomik’ memberi penekanan kepada perkhidmatan perpustakaan yang membawa impak positif kepada kehidupan pemegang taruh dan masyarakat setempat.
Hal ini selaras dengan sub tema yang keempat, ‘Perpustakaan Desa Sebagai Agen Perubahan Komuniti’, yang mana perpustakaan memainkan peranan yang penting dalam menyokong keperluan masyarakat luar bandar. Hal yang demikian tidak terhad kepada keperluan maklumat semata-mata, malah ia turut merangkumi pembangunan seluruh ekosistem bagi setiap komuniti.
Perkara ini dibuktikan dengan kepercayaan yang diberikan oleh komuniti setempat kepada pihak perpustakaan, apabila ibu bapa membenarkan anak-anak mereka menghabiskan masa berjam-jam lamanya di dalam premis perpustakaan tanpa ragu-ragu tentang keselamatan. Ini menunjukkan bahawa perpustakaan bukanlah sekadar tempat rujukan, tetapi juga sebagai tapak untuk menyemai budaya ilmu yang mampu menjalar dalam keadaan yang aman dan harmoni, sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Tidak cukup dengan itu, ia turut disusuli dengan sub tema yang kelima, ‘Pengurusan Kesinambungan Perniagaan’. Tema ini merangkumi cara untuk bertindak balas terhadap apa yang berlaku secara profesional mengikut situasi semasa.
Di samping itu, persidangan ini turut memberi ruang kepada pengamal tempatan dan antarabangsa, ahli akademik, pustakawan, guru perpustakaan dan media, dan pelajar dari institusi pendidikan rendah, menengah dan tertiari (sijil ke pasca-siawazah) untuk menyerlahkan kreativiti masing-masing di dalam pertandingan poster. Pelbagai anugerah telah diberikan kepada poster-poster terbaik.
Sebelum persidangan tahunan sebenar berlangsung, Sekretariat PTPM 2022 telah mengambil inisiatif mengadakan pra persidangan. Ianya bertujuan untuk memantapkan lagi proses persidangan yang bakal dijalankan.
PTPM merupakan persidangan tahunan yang menjadi platform untuk berbincang mengenai isu berkaitan perpustakaan yang melibatkan perkhidmatan, penambahbaikan amalan, jalinan kerjasama dan sebagainya. PTPM 2022 dilihat lebih meriah dengan penglibatan lebih ramai pustakawan dan kakitangan perpustakaan.
Selain daripada pustakawan, kakitangan perpustakaan dan guru perpustakaan dan media, persidangan ini turut mengalu-alukan penyertaan daripada pelbagai pemegang taruh. Mereka terdiri daripada semua yang berkaitan dengan profesion seperti kurator, pegawai arkib, galeri dan muzium untuk berkongsi pandangan dalam persidangan ini nanti.