12 September 2022, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ummi Aiman Zahimi dan Mohamad Suhaizi Suhaimi menampilkan unsur personifikasi dan simile dalam penulisan novel Ramlee Awang Mursid, dan bagaimana unsur kiasan ini mampu menangkap minat pembaca memasuki teks naratifnya.

Penggunaan gaya bahasa sastera lebih bebas dan kaya dengan makna kerana penggunaan gaya tersebut dihasilkan melalui kreativiti penulis itu sendiri dalam pemilihan bentuk perkataan, wacana dan citra bahasa figuratifnya.

Penggunaan bahasa figuratif sememangnya terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu yang gemar menggunakan perbandingan atau analogi dalam penulisan dan percakapan. Hal tersebut menunjukkan keindahan dan kehalusan masyarakat Melayu dalam berbahasa. Maniyamin (2006) menyatakan bahawa bahasa figuratif merupakan bentuk rangkai kata yang khusus dengan mengibaratkan maksud di sebalik kata yang literal menjadi unsur perbandingan. Oleh itu, penggunaan gaya bahasa figuratif juga merujuk penggunaan perkataan yang menyimpang daripada makna literal, iaitu berbeza daripada makna yang dinyatakan dalam daftar kata kamus. Bahasa figuratif termasuklah penggunaan gaya bahasa berbentuk metafora, imejan, peribahasa, simile, dan personifikasi yang tidak menyampaikan makna tersurat (Nik Hassan Basri Nik Ad. Kadir, 2005).

Aspek bahasa figuratif ini juga turut dibincangkan dalam bidang stilistik. Bidang stilistik merupakan kajian terhadap keseluruhan karya yang memfokuskan penggunaan bahasa selain bertujuan untuk mempamerkan kecekapan seseorang penulis mengaplikasikan bahasa menjadi sebuah karya kreatif yang penuh dengan unsur keindahan dan estetika dalam penulisan sastera (Mana Sikana, 2009).

Dapat difahami bahawa stilistik mempunyai kredibiliti tersendiri untuk menganalisis gaya bahasa dalam sesebuah karya sastera. Penggunaan gaya bahasa sastera lebih bebas dan kaya dengan makna kerana penggunaan gaya tersebut dihasilkan melalui kreativiti penulis itu sendiri dalam pemilihan bentuk perkataan, wacana dan citra bahasa figuratifnya. Oleh itu, gaya bahasa menjadi gambaran penggunaan bahasa yang indah dalam penulisan, yang digunakan untuk meningkatkan impak atau kesan dalam hati dan minda para pembaca.

Oleh hal yang demikian, bahasa figuratif merupakan salah satu elemen yang wujud dalam penulisan sastera Melayu moden. Masyarakat Melayu sememangnya gemar menggunakan analogi atau perbandingan dalam ungkapan. Penggunaannya dapat mewujudkan makna yang lebih meluas dan menjadi salah satu daya tarikan kepada pembaca untuk menghayati sesebuah karya. Karya sastera Melayu moden sememangnya biasa menerapkan penggunaan bahasa figuratif. Dalam hal ini, kita akan meneliti bahasa figuratif yang digunakan dalam sebuah ciptaan karya sastera Melayu moden yang popular, iaitu novel.

Dalam perbincangan ini, gaya bahasa figuratif dalam novel akan dilihat melalui kerangka analisis stilistik. Secara khususnya, pendekatan stilistik dijadikan sebagai medium pemahaman terhadap sesuatu bahasa yang tercipta. Hal ini dapat diteliti melalui bentuk gaya pengulangan, penyimpangan atau penekanan yang digunakan, selain mungkin mewujudkan perkataan atau ayat yang baharu. Pemahaman pembaca yang bertambah melalui medium pendekatan stilistik akan dapat memberikan kesan yang mendalam.

Dalam perbincangan ini juga, novel Magis (2013) dipilih. Novel ini merupakan sebuah lagi novel fantasi dan pengembaraan tulisan Ramlee Awang Murshid. Menariknya, novel ini mengembalikan beberapa watak utama dalam beberapa siri novel Ramlee (seperti alam ciptaan Ramlee yang disebut-sebut dalam bahasa Inggeris sebagai writer’s universe) dan dikaitkan cerita dan latar terhadap suatu ruang dunia (multiverse?) yang menemukan setiap watak ini. Penelitian gaya bahasa figuratif dalam novel ini diteliti dan dirungkaikan melalui prinsip Leech dan Short (1981). Dalam hal ini, kita cuba meneliti dua sahaja unsur gaya bahasa dalam Magis sebagai perbandingan, iaitu personifikasi dan simile.

Unsur Gaya Bahasa Personifikasi

Halaman Konteks (K) Petikan
11 K1 Hutan ini mampu bertahan lama walaupun uzur
56 K2 Aliran sungai berlari jauh ke dalam hutan di sebelah paling pedalaman
86 K3 “Bayangan ajal pun menari-nari mengajak Saifuddin beranjak ke pintu maut”

 Perbandingan yang diberikan oleh penulis kepada watak Kobun akan menjadikan wataknya lebih realistik dan nyata dalam bayangan pembaca, sekali gus menyebabkan pembaca teruja untuk mengetahui perkara yang akan terjadi selepas itu.

Petikan dalam K1 ditemui pada halaman 11 novel Magis yang menggambarkan suasana salah satu latar tempat dalam novel ini, iaitu Hutan Keningau, Sabah. Penulis mengaplikasikan unsur personifikasi dalam gambaran suasana hutan dengan memberikan sifat “uzur” terhadap hutan yang tidak bernyawa. Oleh itu, secara tidak langsung, ungkapan berunsur personifikasi ini agak tepat untuk menggambarkan suasana Hutan Keningau yang semakin tercemar akibat aktiviti pembalakan haram. Kami berpendapat bahawa penggunaan unsur personifikasi ini juga dapat mengasah daya imaginasi pembaca dengan memberikan gambaran yang hampir serupa dengan gambaran minda pembaca.

Petikan K2 pada halaman 56 pula mengilustrasikan gambaran kelajuan sungai yang sedang mengalir agar pembaca dapat melakarkan gambaran suasana ini dalam bayangan imaginasi pembaca. Secara implisitnya, ‘berlari’ pada petikan K2 menurut definisi Kamus Dewan: Edisi Keempat (2014) bermaksud bergerak dengan pantas sekali, iaitu lebih cepat daripada berjalan. Oleh itu, “berlari” merupakan perbuatan yang mustahil untuk dilakukan oleh sesuatu yang tidak bernyawa seperti “aliran sungai”.

Pada petikan K3 pula, dapat dilihat bahawa terdapat penggunaan unsur personifikasi pada frasa “bayangan ajal pun menari-nari mengajak”. Petikan ayat tersebut menggambarkan keadaan Saifuddin yang merasakan ajalnya telah pun tiba untuk menjemputnya. Penceritaan penulis pada babak ini juga mengandungi elemen monolog melalui watak Saifuddin yang dizahirkan dalam pernyataan ayat penulis seperti di atas.

Ayat di atas digolongkan dalam bentuk penggunaan bahasa personifikasi disebabkan oleh ayat tersebut menggambarkan bahawa bayangan ajal seolah-olah memiliki sifat manusia pada umumnya, iaitu pada perkataan ‘menari-nari’ dan ‘mengajak’. Secara implisit, kata ‘menari-nari’ bererti perbuatan melompat-lompat keriangan, dan lebih sesuai diberikan kepada makhluk bernyawa. Kemudian, kata ‘mengajak’ juga bererti menjemput atau mempelawa orang lain supaya turut pergi atau datang ke sesuatu tempat, seperti mengajak untuk masuk ke rumah. Oleh itu, apabila kata mengajak yang merupakan sifat manusia diberikan pada benda tidak bernyawa seperti bayangan ajal, menjadikan unsur personifikasi dimainkan dalam penceritaan penulis.

Unsur Gaya Bahasa Simile

Halaman Konteks (K) Petikan
56 K1 Dari kejauhan kedengaran seperti lolongan seekor serigala yang terluka
71 K2 Kobun itu ibarat seekor harimau

 Petikan dalam K1 menggambarkan perlakuan watak Ejim yang menangisi nasib dirinya kerana memiliki muka yang bukan berwajah manusia. Ejim yang keseorangan di Hutan Keningau setelah bapa angkatnya meninggal dunia berasa keseorangan, kesepian dan kesunyian. Perasaan inilah yang cuba dizahirkan oleh penulis pada petikan K1.

Kebiasaannya, lolongan serigala sering menimbulkan ketakutan kerana bunyinya yang nyaring dan kuat. Namun begitu, apabila penulis membandingkan tangisan Ejim pada petikan K1, dapat digambarkan betapa pedihnya perasaan yang terpendam dalam diri Ejim tanpa ketiadaan tempat untuk meluahkan perasaan yang dirasainya.

Seterusnya, pada petikan K2 pula merupakan bentuk perbandingan sifat watak Kobun yang merupakan seorang Yakuza kepada seekor harimau melalui perkataan ‘ibarat’. Sebagaimana umum mengetahui, Yakuza merupakan kumpulan mafia Jepun yang dikenali dengan sifat ganas dan penuh kejahatan. Oleh itu, gambaran penulis melalui ayat “Kobun itu ibarat seekor harimau” merupakan perbandingan yang tepat untuk watak Kobun. Perbandingan yang diberikan oleh penulis kepada watak Kobun akan menjadikan wataknya lebih realistik dan nyata dalam bayangan pembaca, sekali gus menyebabkan pembaca teruja untuk mengetahui perkara yang akan terjadi selepas itu.

Justeru, dapat dilihat bahawa penggunaan gaya bahasa figuratif personifikasi dan simile sememangnya menjadi “kegemaran” Ramlee Awang Murshid dalam Magis. Penggunaan gaya bahasa bahasa figuratif bukan hanya semata-mata berfungsi sebagai kata kiasan yang biasa dalam pertuturan dan ungkapan tradisional Melayu, malah berfungsi sebagai pemangkin emosi kepada pembacanya, selain dapat meningkatkan daya imaginasi sehingga karya dapat dibaca dengan penuh penghayatan.

Kredit Foto: Vladimir Gladkov/Unsplash

_________________________

Ummi Aiman Zahimi graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu, Komunikasi Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malausia, Pagoh, Muar, Johor.

Mohmad Suhaizi Suhaimi pensyarah Bahasa Melayu di Universiti Islam Antarabangsa Malausia, Pagoh, Muar, Johor.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!